Kuala Lumpur: Nasib 10 calon ‘heavyweight’ Barisan Nasional (BN) dan pembangkang yang bertanding 10 kerusi panas akan ditentukan hari ini.

Sepuluh kerusi itu ialah Gelang Patah, Pendang, Pasir Mas, Putrajaya, Lembah Pantai, Permatang Pauh, Cameron Highlands, Segamat, Arau dan Shah Alam.
Di Gelang Patah, 106,864 pengundi akan membuat penentuan sama ada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mampu menyekat cita-cita DAP mengembangkan sayap pembangkang di negeri itu melalui Lim Kit Siang.


Abdul Ghani turun gelanggang berbekalkan perkhidmatan cemerlang 18 tahun sebagai Menteri Besar yang banyak berjasa kepada pembangunan Johor. Dengan sikap sederhananya, mengutamakan perpaduan, semangat setia kawan dan mewujudkan suasana penuh keharmonian, Abdul Ghani meminta kesinambungan, manakala Kit Siang turun dengan hasrat merampasnya.

Bagi kerusi Pendang, pertembungan satu lawan satu antara Datuk Othman Abdul (BN) dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Othman dilihat mempunyai kelebihan berikutan pengalamannya pernah menewaskan tiga jaguh PAS, iaitu Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi (1986); bekas Presiden PAS, Allahyarham Fadzil Nor (1990) dan Dr Hayati Ismail (pilihan raya kecil 2002).

Datuk Ibrahim Ali yang bertanding sebagai calon Bebas di Pasir Mas pula berdepan anak Mursyidul Am PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Sebagai penyandang dan pejuang bangsa, Ibrahim dilihat ada kelebihan berbanding lawannya yang naik disebabkan populariti ayahnya.

Populariti menurun
Di Permatang Pauh, persoalan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim tersungkur di kaki calon BN, Dr Mazlan Ismail juga bakal terjawab sebelum tengah malam ini. Dengan populariti dikatakan semakin menurun, masa depan politik Anwar kini di tangan pengundi kampungnya.

Nasib anak Anwar, Nurul Izzah akan ditentukan pengundi Parlimen Lembah Pantai. Walaupun penyandang, Nurul Izzah berdepan saingan sengit anak tempatan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel yang bertanding di Cameron Highlands dijangka mempertahankan kerusi itu untuk BN kerana lawannya, calon DAP, M Manogaran adalah orang luar yang sebelum ini Ahli Parlimen Teluk Intan.

Satu lagi kerusi tumpuan ialah Parlimen Putrajaya. Penyandang yang juga Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dikatakan bersaing hebat dengan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Di Shah Alam, pertembungan calon BN, Datuk Zulkifli Nordin dengan penyandang, Khalid Abdul Samad akan ditentukan 99,957 pengundi, manakala di Segamat, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam menghadapi cabaran hebat Pengerusi PKR Johor, Datuk Dr Chua Jui Ming yang juga bekas Menteri Kesihatan.

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Shahidan Kassim pula mempertahankan kerusi BN di Arau yang ditentang hebat Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din.