Dalam keriuhan pengumuman calon BN yang diumumkan hari ini, beberapa buah negeri bakal dijangka mendapat menteri besar baru selepas pilihan raya umum 5 Mei ini.

Johor, Melaka dan Perlis antara negeri yang disebut bakal mendapat menteri besar baru selepas penyandangnya sebelum ini berpindah ke kerusi parlimen atau tidak mempertahankan kerusi mereka yang sedia ada.

Di Johor, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman tidak mempertahankan kerusi tradisinya - DUN Serom - sebaliknya berpindah ke parlimen Gelang Patah menentang tokoh DAP Lim Kit Siang.

NONEOleh itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) antara calon yang disebut-sebut dilantik ke jawatan itu selepas diumum bertanding kerusi DUN Permas dalam pilihan raya umum kali ini.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohamed Khaled menang kerusi Pasir Gudang dengan menewaskan calon PKR Md Rizan Mohd Saman dengan majoriti 17,281 undi. Pasir Gudang mempunyai dua DUN iaitu Permas dan Johor Jaya.

Situasi yang sama juga berlaku di Melaka, apabila penyandangnya Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding di kerusi parlimen Bukit Katil. Beliau bakal berdepan dengan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin.

Pilihan raya umum 2008 menyaksikan Mohd Ali menang di DUN Bukit Baru - antara tiga kerusi dalam parlimen Bukit Katil - dengan majoriti 2,708 undi menewaskan calon PAS Bakrin Sidek.

NONEAntara calon yang dispekulasi menggantikan Mohd Ali ialah ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Idris Haron (kanan) yang akan bertanding kerusi DUN Sungai Udang.

Idris sebelum ini adalah ahli parlimen Tangga Batu, menang dengan majoriti 14,500 undi menentang calon PKR Zainon Jaafar.

Di Perlis pula, Menteri Besar Datuk Seri Md Isa Sabu mengundur diri daripada bertanding sebarang kerusi DUN di negeri itu.

Beliau memberi kepercayaan kepada Ketua Wanita Umno negeri Rela Ahmad untuk mempertahankan DUN Bintong yang disandangnya sebelum ini.

Rela bakal berdepan dengan Setiausaha Pilihan Raya PAS Perlis Abd Jamil Kamis.

Sehubungan itu, calon menteri besar yang disebut-sebut menggantikan tempat Md Isa adalah muka baru, Azlan Man yang diumumkan bertanding di DUN Pauh.

Azlan adalah pegawai tinggi kerajaan dan pernah bertugas sebagai pegawai khas kepada Syed Hamid Albar. Beliau bakal berdepan dengan tentangan Ketua Dewan Ulama PAS Perlis Idris Yaacob.