Spekulasi siapa bakal menjadi menteri besar jika BN menang di Perak dalam pilihan raya umum ke-13 terjawab apabila tiga menteri kabinet yang disebut-sebut diletakkan di  kerusi Parlimen.

Mereka adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Nazri Abd Aziz dan Datuk Seri Husni Hanadzlah.

Selain itu, bagi Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kader pula kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor.

Sebelum ini terdapat khabar angin tiga menteri itu berhasrat menjadi menteri besar, dakwaan yang dikatakan disebarkan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengannya.

Beberapa pemimpin BN negeri sebelum ini memberitahu Malaysiakini, dakwaan itu disebarkan individu yang mempunyai kepentingan peribadi dan tidak mendapat projek tertentu.

Bagaimanapun, Februari lalu, tiga menteri pusat itu menyuarakan sokongan kepada Zambry dengan harapan beliau kekal sebagai menteri besar.

Zambry mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Pakatan Rakyat, bawah menteri besarnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selepas peristiwa tiga wakilnya keluar parti dan menyokong BN.

Tutup ruang perpecahan dalaman
Pemerhati politik melihat langkah itu kena pada tempatnya bagi merutup kemungkinan berlakukanya perbalahan dalaman ketika berdepan dengan keadaan genting pada 5 Mei nanti.

Sementara itu, Zambry yang membuat pengumuman calon BN Perak hari ini berkata, parti itu menampilkan 35 calon muka baru bagi kerusi DUN serta lima calon baru bagi kerusi Parlimen.

Menurut Zambry, dengan adanya muka baru yang datang dari pelbagai latar belakang profesional, ia bersesuaian dengan transformasi yang dibawa oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

"Sesuai dengan transformasi yang digagaskan perdana menteri, BN Perak kali ini menampilkan 35 muka baru, iaitu hampir 60 peratus daripada 59 kerusi DUN. Bagi Parlimen BN Perak tampilkan lima muka baru.

"Dalam proses meremajakan parti, ia sesuai dengan peningkatan pengundi muda. Untuk pilihan raya kali ini kita ketengahkan 11 calon yang mewakili generasi muda," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan calon BN Perak di ibu pejabat Umno negeri, di Ipoh, Perak hari ini.