Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

17.4.13

Soi Lek: Kit Siang tidak boleh menang mudah


17 April 2013
Soi Lek: Kit Siang tidak boleh menang mudah
Calon Gelang Patah
 
KUALA LUMPUR  - Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata Lim Kit Siang yang bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah tidak lagi boleh menganggap akan menang mudah di kawasan yang majoritinya pengundi Cina itu.

"Lim Kit Siang tidak pernah terfikir akan berdepan dengan pemimpin Umno di situ. Lazimnya dia (Lim) akan muncul pada hari penamaan calon dan hilang dan muncul semula untuk mengundi sebab dia amat yakin akan menang.

"Kali ini saya berani bertaruh, dia sudah tidak ada keyakinan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'The Star Accelerator Fund', di sini hari ini.

Veteran DAP itu akan berdepan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di kerusi parlimen berkenaan.

Dr Chua berkata strategi menukar dan meminjam kerusi yang dilaksanakan BN kali ini merupakan langkah 'di luar kotak' bagi memastikan kemenangan majoriti dua pertiga BN pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini. 

"Apabila kita pergi berperang, kita mahu menang. Strategi ini telah difikirkan dengan mendalam bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional," katanya.

Sehubungan itu katanya, anggota parti tidak patut mempertikaikan langkah berkenaan.

MCA meminjamkan kerusi Parlimen gelang Patah, Kuantan dan Wangsa Maju kepada Umno serta kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kota Laksamana kepada parti Progresif Penduduk (PPP) pada PRU13 ini.

Dr Chua yang yakin BN akan diberi mandat mentadbir semula negara ini, turut meminta anggota dan pemimpin MCA menerima serta menyokong sepenuhnya mereka yang dicalonkan bagi memastikan suara kaum Cina dalam kerajaan diwakili.

"Pilihan raya ini amat penting kepada kaum Cina. Jika kita tidak berhati-hati, kita akan terkeluar daripada kerajaan dan dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, keadaan ini berbahaya," katanya.

Terdahulu ketika berucap, Dr Chua berkata Malaysia mungkin mencapai status negara maju pada 2018, dua tahun lebih awal daripada sasaran, jika BN terus mentadbir negara.

Katanya ini berdasarkan pertumbuhan mampan yang dinikmati Malaysia susulan pelbagai inisiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi sejak 2010.

'The Star Accelerator Fund' yang bermula dengan dana RM20 juta bertujuan menyediakan modal kepada individu dan syarikat berasaskan teknologi dan digital dalam pembangunan idea dan pengkomersilan produk.

Sementara itu, Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai menggesa semua anggota parti bersatu dan bekerja bersama bagi memastikan kemenangan BN pada PRU13 ini.

Katanya setiap anggota mesti memastikan BN terus meneraju tampuk kepimpinan pusat dan negeri serta bekerja keras merampas semula negeri yang jatuh ke tangan pembangkang sebelum ini.

Seorang lagi Naib Presiden MCA Datuk Seri Chor Chee Heung pula berkata anggota parti itu mesti berani dan memberi sepenuh tumpuan dalam membantu BN mencapai kemenangan serta mengetepikan semua perbezaan pada peringkat bahagian dan cawangan.  - Bernama

Tiada ulasan: