Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

17.4.13

Khalid tidak layak terus jadi MB - Satim Diman

pada 28-03-2013 01:03 Ditulis Oleh Shawaliah Hadir



Post Pic

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak layak untuk terus diberi mandat menjadi Menteri Besar Selangor, kata Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman.
 
Katanya, Khalid gagal menunaikan banyak janji yang pernah ditabur kepada rakyat.
 
Khalid juga katanya sering mengadakan majlis-majlis simbolik pemberian baucar RM100 untuk segelintir ibu tunggal, kanak-kanak dan warga emas, dan terus mendakwa Pakatan Rakyat membela seluruh rakyat Selangor.
 
Walhal ia hanya melibatkan sebahagian kecil daripada rakyat Selangor yang layak menerima bantuan daripada kerajaan negeri.
 
"Khalid dah banyak janji tapi tidak tunaikan dia tidak layak jadi Menteri Besar, sebab dia kata manifesto bukan janji bermakna dia tidak layak.
 
"Seorang MB bertanggungjawab dengan apa yang dijanjinya," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Akibat kenyataan Khalid itu, kerajaan negeri menerima ribuan saman daripada rakyatnya, termasuk ibu tunggal, suri rumah, warga emas dan ibu bapa kepada murid tadika.
 
Kesemua mereka dijanjikan elaun bulanan pada PRU12 yang lalu.
 
Satim juga mendakwa Khalid telah menderhaka kepada Selangor kerana bertindak menjual aset dalam negeri termasuk menjual tanah. 
 
"Pada saya Tan Sri Khalid tidak layak lagi jadi Menteri Besar, dia banyak menderhaka Selangor tanah semua dia jual," tegasnya lagi.
 
Terbaru, Khalid dilingkari isu kerajaan negeri dan anak syarikatnya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sedang membuka penjualan apartmen mewah di Keramat kepada warga asing dari Singgapura dan China.
 
Projek yang pada mulanya diuar-uarkan sebagai projek pembangunan semula dan pembinaan rumah mampu milik secara diam-diam ditukar statusnya kepada projek mewah yang diberi nama Datum Jelatek.
 
Meskipun mendapat banyak bantahan penduduk berhubung tindakan kerajaan negeri itu, Khalid tetap bertegas, projek itu akan diteruskan.
 
Khalid sebelum ini menerima kritikan hebat daripada pimpinan akar umbi PKR. Rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Khalid yang dilihat seringkali membelakangkan parti.
 
Beliau juga dikatakan tidak menyumbang kepada parti walaupun mentadbir negeri yang terkaya dalam negara ini.
 
Khalid juga dilaporkan seringkali mendahului keputusan parti selain tidak memaklumkan kepada parti keputusan-keputusan politik melibatkan Selangor.
 
Natijahnya, pemimpin akar umbi PKR sebelum ini dilaporkan pernah mengusulkan untuk PKR memecat Khalid daripada kerusi menteri besar.
 
Antarapos menghubungi Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam namun beliau enggan mengulas lanjut.
 
"Saya betul-betul tidak tahu dan saya tidak mahu komen lanjut," beliau menjawab ringkas.
 
Umum mengetahui Khalid dan Manikavasagam sebelum ini tidak sehaluan ekoran suara lantangnya dalam membela nasib rakyat.
 
Manikavasagam sebelum ini mendedahkan isu penyelewengan pasir di Selangor, namun ia tidak diendahkan Khalid.

Tiada ulasan: