Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

15.4.13

12 muka baru BN di Wilayah Persekutuan

16 April 2013
Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 
 
KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin disahkan sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Beliau ialah antara 12 muka baru yang diumumkan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertanding 13 kerusi parlimen Wilayah Persekutuan bersama satu-satunya muka lama, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang akan mempertahan kerusi Putrajaya yang disandangnya selama dua penggal.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Titiwangsa Datuk Johari Ghani akan bertanding bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, Ketua Umno  Bahagian Wangsa Maju Datuk Shafie Abdullah (Wangsa Maju), Datuk Ahmad Fauzi Zahari (Setiawangsa), Rozman Isli (Labuan),  Setiausaha Agung Wanita Gerakan B. Jayanthi Devi (Segambut) dan Setiausaha Agung Pemuda Gerakan Dr Dominic Lau Hoe  Chai (Batu).

"Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan Datuk A. Chandrakumanan akan bertanding bagi kerusi Parlimen  Kepong," kata Timbalan Perdana Menteri semasa membuat pengumuman itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Empat lagi kerusi akan ditandingi calon MCA Frankie Gan Joon Zin (Bukit Bintang), Tan Kok Eng (Bandar Tun Razak), Teoh Chee  Hooi (Cheras) dan Nicole Wong Siaw Ting (Seputeh).

Muhyiddin berkata setiap calon yang dipilih telah melalui saringan yang ekstensif dan intensif bagi memastikan calon BN mampu  melaksanakan segala aspirasi parti untuk berkhidmat kepada rakyat.

"BN telah menyediakan satu pasukan yang mantap dan berdedikasi serta mempunyai akhlak dan moral yang tinggi," katanya.      Timbalan pengerusi BN itu juga berkata pertimbangan pertama calon yang dipilih mengambil kira mereka mampu melaksanakan gagasan BN untuk 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Calon dipilih juga yang mampu menjamin kemenangan BN dalam PRU13 ini, katanya.

Berbanding pakatan pembangkang yang masih dalam krisis penentuan calon di kebanyakan kawasan, BN mengotakan janji untuk  melakukan perubahan dalam senarai calon apabila menampilkan 33 peratus muka baharu bagi kerusi parlimen dan 49 peratus bagi dewan undangan negeri (Dun) keseluruhannya.

Ini bermakna, buat pertama kali dalam sejarah PRU, BN menampilkan sehingga 73 calon baharu bagi kerusi parlimen dan 247 muka baharu kerusi Dun selepas dikejutkan dengan tsunami politik pada 2008 yang menyaksikan BN gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Selain Raja Nong Chik yang bakal menentang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di Lembah Pantai, kerusi panas lain yang disebut-sebut ialah Putrajaya kerana Tengku Adnan bakal berdepan dengan Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa.

Pada pilihan raya umum 2008, daripada 13 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan yang dipertandingkan, BN menguasai Putrajaya, Setiawangsa dan Labuan.- Bernama

Tiada ulasan: