Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

19.4.13

Tragedi berdarah 13 Mei 1969 di dalam lipatan sejarah


Assalamualaikum, Salam Sayang & Salam Bersa7u.
13 Mei 1969, tarikh yang sentiasa menjadi ingatan kepada setiap individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak. Mengenang tarikh yang menjadi saksi tragedi berdarah di dalam sejarah negara, aku pasti masih ramai yang cukup gerun terutamanya mereka yang menyaksikan sendiri peristiwa ini di depan mata. Aku tak tau sebab aku belum pun lahir masa tu.

Mendengar cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh generasi lama tentang peristiwa 13 Mei 1969 sebenarnya cukup menggerunkan aku, tapi sebagai anak Melayu aku bangga kerana ketika itulah orang-orang Melayu bersatu menentang mereka yang melakukan penganiayaan terhadap Melayu.

Peristiwa 13 Mei 1969 ialah tragedi rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi berdarah ini mengakibatkan kehilangan banyak nyawa serta harta benda dan berkait rapat dengan Pilihan Raya Umum 1969 merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.

Semasa kempen Pilihan Raya Umum 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari kalangan parti pembangkang telah membangkitkan soal-soal bangsa Malaysia berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik yang ingin mendapatkan faedah dalam pilihanraya.

Pada Pilihan Raya Umum 1969, Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC telah gagal memperolehi majoriti 2/3 kerusi di parlimen walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Hal ini disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu kemenangan yang besar buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenangi mereka dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.

Parti Gerakan Malaysia (GERAKAN), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) telah memenangi 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memenangi 12 kerusi.

Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka pada 11 Mei 1969. Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif untuk menimbulkan isu perkauman. Malah terdapat segelintir pengikut perarakan (identiti mereka tidak dapat diketahui) telah mengeluarkan slogan-slogan sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur .

Perarakan turut dijalankan pada 12 Mei 1969 di mana kaum Cina berarak melalui kawasan Melayu, melontar penghinaan sehingga mendorong kepada kejadian tidak diingini. Pihak pembangkang yang sebahagian besarnya kaum Cina dari DAP dan GERAKAN yang menang, mendapatkan permit polis bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun perarakan melencong dari laluan yang ditetapkan dan melalui kawasan Kampung Baru yang merupakan penempatan Melayu, menyorak penduduk di situ.
Sesetengah penunjuk perasaan membawa penyapu, kemudiannya dikatakan sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu dari Kuala Lumpur, sementara yang lain meneriak slogan mengenai tengelamnya kapal Perikatan. Ia berlarutan hingga ke 13 Mei 1969 sebelum GERAKAN mengeluarkan kenyataan permohonan maaf pada 13 Mei di atas kelakuan penyokong mereka. Menteri besar Selangor ketika itu, Dato’ Harun Idris telah mengumumkan bahawa perarakan balas meraikan kemenangan UMNO akan dijalankan pada pukul 7.30 malam, 13 Mei 1969.

Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru. Dato’ Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan. Rupa-rupanya, mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang serta parang panjang dan hanya menunggu arahan daripada Dato’ Harun Idris untuk mengamuk.

Ketika berkumpul, cerita-cerita tentang kebiadapan ahli GERAKAN tersebar dan meluap-luap. Jam 3.00 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua kilometer dari rumah Menteri Besar Selangor. Terdapat cerita-cerita lain mengenai seorang wanita mengandung dibunuh dan kandungannya dikeluarkan dari perut dengan menggunakan besi penggantung daging babi. Sebelum menghembuskan nafas terakhir wanita tersebut sempat memasukkan semula janin yang terkeluar itu ke dalam perutnya.
Jam 4.00 petang, dua penunggang motosikal berbangsa Cina yang melalui kawasan Kampung Baru telah dipancung. Sebuah van membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Pemuda-pemuda Cina yang dikatakan dari Parti Komunis Malaya (PKM) dan ahli kongsi gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang-orang Melayu di sekitar Kuala Lumpur. Rupa-rupanya orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan pelbagai senjata besi, tombak dan lembing berparang di hujung seperti dalam filem lama Cina.

Cerita-cerita seperti ini yang tidak diketahui sama ada benar atau tidak telah menyemarakkan lagi api permusuhan di antara Melayu dan Cina. Rusuhan besar terjadi dan perintah darurat diisytiharkan, semua orang tidak dibenarkan keluar dari rumah. Pasukan polis berkawal di sekitar Kuala Lumpur. Tentera dari Rejimen Renjer lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur.

Malangnya pasukan ini terdiri dari orang-orang Melayu, Iban, Cina, Sikh, Gurkha dan lain-lain turut menembak orang-orang Melayu dan ini menyebabkan kemarahan orang Melayu semakin meluap-luap. Menurut laporan, ketua pasukan Rejimen Renjer dikatakan berbangsa Cina.
Pemuda-pemuda Melayu yang mempertahankan Kampung Baru dan yang lain-lain mengamuk merasakan diri mereka terkepung antara orang Cina dengan askar Rejimen Renjer. Beberapa das tembakan dikatakan turut ditujukan ke rumah Menteri Besar Selangor.

Akhirnya Rejimen Renjer digantikan dengan Rejimen Askar Melayu. Beberapa bangunan rumah kedai di sekitar Kampung Baru dan Jalan Tuanku Abdul Rahman masih terus terbakar. Pentadbiran diambil-alih oleh Rejimen Askar Melayu. Malangnya beberapa askar-askar Melayu turut masuk ke kedai-kedai emas Cina dan mengambil harta benda di sana. Malah ada askar melayu yang menembak ke atas rumah kedai orang Cina kerana kononnya mereka telah membaling botol ke arah askar Melayu tersebut. Ada yang berkata askar tersebut berpakaian preman.

Ramai orang Cina dibunuh dan dicampakkan ke dalam lombong bijih timah di Sungai Klang berhampiran Lorong Tiong Nam, Chow Kit. Konon ada rakaman televisyen oleh pemberita dari BBC dan Australia menyatakan beberapa pemuda Cina ditangkap, dibariskan di tepi lombong dan dibunuh. Bagaimanapun, sehingga sekarang, tiada bukti sahih mengenai rakaman ini.

Pemuda-pemuda Cina telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut langsung tidak tahu membaca tulisan bahasa Cina. Kesan daripada itu, pemuda-pemuda cina tersebut telah menyerbu masuk ke dalam panggung dan menyerang dan menyembelih penonton yang ada dan membakar pawagam tersebut. Hampir semua penonton di dalam panggung tersebut mati di dalam keadaan yang sangat mengerikan.

Ini termasuklah dua anggota Rejimen Askar Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang. Manakala di pasar pula askar Melayu telah menembak orang Cina yang melanggar perintah berkurung dengan kereta perisai mereka. Di lebuhraya persekutuan pula, penduduk Melayu Kampung Kerinchi telah membuang pasu di atas lebuhraya tersebut dan mengakibatkan kesesakan lalulintas dan kemalangan. Pemilik kereta berbangsa Cina ditetak dan dibunuh. Seluruh keluarga peniaga Cina yang menjual bunga berdekatan habis dibunuh. Di Lapangan Terbang Sungai Besi waktu itu yang merupakan lapangan terbang antarabangsa, askar Melayu telah menembak orang Cina yang baru balik dari luar negeri dengan tanggapan bahawa mereka melanggar perintah berkurung. 


Pemuda yang bernama Rahim Desa bersama seorang kawannya yang berjawatan kapten ketika itu yang tinggal di Kuala Lumpur yang turut menonton wayang di Panggung Odeon terkena tetakan di kepala dan berpura-pura mati. Sementara Mohd Radzi mengalami pengalaman yang sama di Pawagam Federal, Jalan Chow Kit ketika menonton filem They Came To Rob Las Vegas.

Abdul Rafai Alias bersama rakan-rakannya dari Semenyih yang datang ke Kuala Lumpur turut terperangkap dan terkejut dengan rusuhan kaum yang tidak disangka-sangka pada 13 Mei itu. Beliau turut melangkah-langkah mayat mereka yang telah terbunuh di atas jalan. Khabar angin mengatakan Tentera Sabil dari Sungai Manik hendak datang ke Kampung Baru tetapi tersekat. Begitu juga dengan Tentera Selempang Merah dari Muar dan Batu Pahat disekat oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.

Menurut cerita, terdapat 4 orang Kiyai di sekitar Kampung Baru mengedarkan air jampi dan tangkal penebat iaitu ilmu kebal dengan harga yang agak mahal. Sesiapa yang memakainya menjadi kebal dan boleh terbang. Apa yang pasti, askar Melayu juga telah menyelamatkan orang Melayu di Kampung Baru ketika itu. Mungkin juga ramai yang pernah mendengar kisah parang terbang yang terbang memenggal kepala orang Cina.

Ada yang menyifatkan pergaduhan ini sebenarnya adalah pergaduhan politik Dato’ Harun dengan sokongan Tun Abdul Razak yang tidak berpuas hati dengan Tunku Abdul Rahman dan bukannya perkauman kerana pemimpin Cina Parti Perikatan seperti, Tan Siew Sin, Ong Yoke Lin dikhabarkan telah lari bersama dengan Tunku Abdul Rahman ke Cameron Highlands. Sebelum peristiwa itu masyarakat Melayu dan Cina boleh hidup dalam keadaan yang harmoni. Dinyatakan pergaduhan tidak berlaku di negeri lain seperti Kelantan, Pahang dan Kedah. Jika ia merupakan isu perkauman, pastinya pada hari itu orang Cina dan Melayu akan berbunuhan sesama sendiri di negeri tersebut seperti yang terjadi di Selatan Thai.

Di kalangan orang Melayu yang mempunyai pandangan negatif terhadap kaum Cina dengan melihat mereka sebagai tidak mengenang budi dengan taraf kerakyatan yang diberikan pada mereka. Persepsi negatif masyarat Melayu terhadap kaum Cina juga berlaku kerana orang Cina merupakan majoriti menganggotai pasukan Bintang Tiga yang ingin menjadikan negara ini sebagai negara Komunis berpaksikan negara China.

Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah.
Statistik tidak rasmi jumlah kematian:
  • Melayu  : 86 orang
  • Cina  : 342 orang
  • Lain-lain  : 3 orang
Statistik tersebut tidak begitu tepat kerana daripada kacamata orang ramai yang menjadi saksi, mereka melihat berderet-deret lori membawa mayat yang tidak sempurna ke Balai Polis Jalan Travers ketika itu.

Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969. Dengan pengisytiharan ini, Perlembagaan Persekutuan telah digantung. Negara diperintah secara terus oleh Yang Di-Pertuan Agong di bawah Undang-Undang Tentera. Dalam pada itu, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman telah menarik diri dari mengetuai majlis tersebut. Tempat beliau telah digantikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Abdul Razak. Berikutan itu, parlimen juga digantung.

Sepanjang tempoh darurat, MAGERAN telah melakukan pelbagai tindakan untuk mencari punca dan penyelesaian agar tragedi tersebut tidak berulang. Antara tindakan yang diambil ialah membentuk satu Rukun Negara bagi meningkatkan kefahaman rakyat tentang perlembagaan negara. Turut dilakukan ialah melancarkan Dasar Ekonomi Baru untuk menghapuskan pengenalan kaum dengan satu aktiviti ekonomi dan membasmi kemiskinan tegar.
Rujukan :
  • Ramlah Adam, ‘Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra‘. 2004.
  • Tunku Abdul Rahman Putra, ‘13 Mei – Sebelum dan Selepas‘.
  • Leon Comber, “13 May 1969, A Survey of Sino-Malay Relations“. 1981.
  • Sumber Polis Di-Raja Malaysia.

The Author -S.A.Y-

Tiada ulasan: