Anggota Parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah yakin pengundi di Parlimen itu akan terus menyokong BN dalam pilihan raya akan datang walaupun PAS menurunkan ayam tambatannya Nasrudin Hassan di situ.

Sambil mengucapkan selamat datang kepada Nasrudin, Saifuddin yang juga timbalan menteri pengajian tinggi berkata, jika dipilih semula mewakili BN, beliau akan pastikan berlakunya kempen secara sihat di kawasan itu.

NONE"Berdasarkan rekod perkhidmatan BN, siapa pun calon pembangkang, saya optimis yang pengundi akan terus menyokong BN," kata Saifuddn dalam kenyataannya semalam.

Temerloh mempunyai seramai 49,984 pengundi dengan komposisi pengundi Melayu 62 peratus, Cina 27 peratus dan India 9 peratus.

Dalam pilihan raya umum 2008, kerusi yang dianggap kubu kuat BN itu ditandingi calon PKR Ahmad Nizam Hamid, selepas PAS memberi laluan kepada rakan Pakatannya untuk bertanding.

Walaupun kalah, Ahmad Nizam berjaya mengurangkan penguasaan BN dengan drastik sekali apabila mengurangkan majoriti daripada 12,026 kepada 2,441 sahaja

Nasrudin sebelum ini bertanding di Parlimen Maran pada 2008 tetapi tewas kepada calon BN Ismail Abd Muttalib dengan majoriti 6,641 undi.

Pertembungan di Temerloh dijangka menarik perhatian pemerhati kerana ia disifatkan sebagai pertarungan antara progresif dan 'konservatif' antara dua parti yang didominasi orang Melayu.

Progresif lawan konservatif?

Saiffuddin, tokoh muda BN yang sedang menyinar dilihat mewakili jalur progresif dalam Umno dan mencapai popularitinya sendiri ekoran kerap berbeza pandangan dengan pemimpin BN lain dalam sesuatu isu.

Malah, beliau antara segelintir pemimpin BN yang pendekatannya, suka tidak suka, disenangi oleh parti lawan, bahkan gerakan mahasiswa.

Manakala Nasrudin pula, yang sinonim dengan imej Pemuda PAS yang keras, dilihat antihiburan dan konsert serta sering mengugut untuk berdemonstrasi menentang konsert mungkin bakal menghadapi laluan sukarnya di kawasan campuran itu.

Sementara itu, Saifudin ketika ditanya berhubung tanggapan itu berkata, beliau tidak dapat mengulas banyak kerana rakyat sendiri akan menentukannya.

Bagaimanapun, katanya, orang Melayu di kawasan itu tahu bahawa beliau seorang Islam yang mengamalkan ajarannya, dan tetap menyokong tuntutan masyarakat lain seperti isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi masyarakat Cina dan membantu kuil dan sekolah Tamil di Temerloh.

"Ia juga kerusi yang 50 peratus bandar, 50 peratus kampung, dengan Temerloh bandar kedua terbesar di Pahang. Jadi, ramai profesional yang biasa dengan Temerloh akan tahu berhubung pandangan-pandangan progresif saya," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, sambil menekankan menghormati lawannya di kawasan itu, Nasrudin pula
menafikan tanggapan negatif terhadapnya itu.

"Saya mewakili parti Islam dan Islam itu universal juga kontemporari sifatnya. Saya bukan konservatif," katanya kepada Malaysiakini semalam.