Pendekatan yang digunapakai oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April tahun lalu, tidak mencerminkan semangat Akta Perhimpunan Aman (APA), demikian penemuan siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dalam laporan siasatan awam terhadap insiden semasa dan selepas perhimpunan tersebut, Suhakam berkata, pendekatan 3R 1C 1E (Restraint,  Restraint, Restraint, Caution and Enforce) yang digunapakai oleh PDRM tidak mencerminkan semangat akta tersebut yang berkuatkuasa lima hari sebelum perhimpunan tersebut.

NONE"Perlaksanaan restraint adalah tidak sama dengan pemudahcara yang mana maksudnya merujuk kepada satu peranan yang lebih aktif dan bersifat penyertaan," kata laporan siasatan tersebut yang berjalan selama enam bulan mulai Julai lalu.

Katanya, polis tidak membantu atau memudahkan penyuraian para peserta semasa perhimpunan awam 28 April 2012 seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 8 APA.

"Peserta perhimpunan tidak diberikan masa yang mencukupi dan munasabah untuk bersurai dalam keadaan yang teratur dan selamat.

"Sebaliknya, amaran bersurai hanya diberikan sebelum tembakan meriam air dan gas pemedih mata yang pertama dan tidak dilakukan selepas itu. Tembakan meriam air dan gas pemedih mata yang berterusan turut menjejaskan usaha peserta untuk bersurai," tambahnya.

Di dalam laporannya, Panel turut mengenalpasti penemuan berikut:

NONE• Bahawa terdapatnya penggunaan kekerasan yang tidak seimbang dan insiden salah laku oleh kakitangan polis ke atas peserta yang
ditahan dan dibawa ke kawasan tahanan di Dataran Merdeka dan kebanyakan mereka yang ditahan tidak dimaklumkan sebab mereka ditangkap;

• Bahawa terdapat peserta yang ditahan oleh kakitangan polis semasa mereka berada di dalam premis tertentu walaupun mereka telah meninggalkan kawasan perhimpunan;

• Bahawa terdapat cubaan oleh pihak polis menghalang pihak media daripada membuat liputan berkenaan perhimpunan menerusi rampasan peralatan mereka, memadam gambar-gambar yang diambil serta menahan atau mengasari mereka;

NONE• Bahawa kesemua peserta yang ditahan di PULAPOL tidak dimaklumkan akan sebab mereka ditahan dan dinafikan hak untuk mendapatkan akses kepada wakil perundangan mereka;

• Bahawa mereka yang mengadakan protes di luar kediaman Dato’ Ambiga Sreevenasan selepas 28 April mempunyai hak untuk mengamalkan kebebasan bersuara dan berhimpun. Pada masa yang sama, amalan tersebut tidak harus menafikan hak ke atas privasi, kebebasan peribadi dan keselamatan Dato’ Ambiga Sreevenasan serta mereka yang tinggal di sepanjang kawasan kediaman tersebut. Aktiviti yang dijalankan harus selari dengan undang-undang, peraturan atau undang-undang kecil majlis perbandaran. Kegagalan pihak berkuasa untuk bertindak ke atas perlanggaran undang-undang dan peraturan tersebut menujukkan bahawa terdapatnya kekurangan kesungguhan untuk bertindak mahupun bersikap berat sebelah atau tidak mengendahkan daripada pihak berkuasa;

• Bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam memudahkan lalulintas dengan membuka lebih banyak jalan di dalam dan sekitar bandaraya;

bersih 3 rally 020512 two protesters in tear gas• Bahawa terdapat penutupan beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) termasuk Masjid Jamek, Dang Wangi, Pasar Seni (Aliran Kelana), Plaza Rakyat, Bandaraya and Sultan Ismail (Aliran Ampang) daripada 3.00 petang hingga 5.30 petang yang mengakibatkan kesukaran para peserta untuk bersurai secara aman dan teratur; dan

• Bahawa sesetengah penggunaan bahasa di dalam garis panduan yang disediakan oleh penganjur perhimpunan pada 28 April yang bertajuk “Garis Panduan Bersih 3.0 – 28 April” boleh disalahtafsir dan boleh menggalakkan para peserta menyalahi undang-undang atau mendorong kepada kelakuan dan akibat yang tidak diingini.

Berdasarkan kepada hasil penemuan tersebut, panel Inkuiri menggariskan beberapa syor untuk pertimbangan pihak berkuasa yang berkaitan dan pihak media, antaranya:

• PDRM perlu menyelia perhimpunan aman seperti yang diperuntukkan di bawah APA 2012 dalam memastikan pengurusan dan kawalan orang ramai serta meminimumkan gangguan kepada orang awam dan aktiviti di kawasan-kawasan yang berkenaan. Ia boleh dicapai melalui mesyuarat bersama pihak penganjur serta latihan dan bengkel yang berterusan berhubung pengurusan dan kawalan peserta semasa perhimpunan berselari dengan piawaian antarabangsa;

• Pihak polis perlu membuat perbezaan di antara perhimpunan aman dan rusuhan serta mengekalkan sikap neutral dalam melindungi keselamatan peserta dan orang awam sekiranya perhimpunan awam tersebut melibatkan dua atau lebih kumpulan berbeza di dalam kawasan yang sama;

• PDRM perlu mengkaji semula dan meminda Prosedur Standard Operasi (SOP)/Perintah Tetap dalam menyuraikan perhimpunan selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa seperti Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), Konvenen Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Konvensyen Eropah dan Amerika mengenai Hak Asasi Manusia, dan mencontohi amalan terbaik Pasukan Polis lain di dunia;

• PDRM perlu memastikan bahawa peserta diberi masa yang mencukupi dan munasabah untuk bersurai dalam cara yang teratur dan selamat, dan laluan keluar yang betul boleh diakses bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Cara alternatif dalam memberi amaran dan menyuraikan peserta juga perlu dikajisemula;

• PDRM perlu mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini atau arahan yang bercanggah dengan memastikan semua arahan yang dikeluarkan oleh Komander Lapangan dan, sekiranya terdapat tugas perlu diserahkan kepada pegawai lain, maklumat tersebut hendaklah disampaikan kepada kakitangan polis yang bertugas semasa perhimpunan;

• PDRM perlu menggunapakai cara komunikasi tambahan atau yang lain bagi memastikan para pegawai polis dapat mengekalkan komunikasi antara satu sama lain dan untuk mengelak sebarang kekeliruan berhubung perintah atau tindakan yang diambil oleh mana-mana pasukan di lapangan;

• Pegawai yang melakukan penahanan perlu mengamalkan sikap berhati-hati dan mengelakkan penggunaan kekerasan yang tidak wajar atau tidak seimbang dalam melakukan tangkapan serta perlu memaklumkan kepada orang yang ditahan mengenai sebab mereka ditahan serta memastikan hak mereka untuk mendapatkan akses kepada pegawai perundangan;

• Orang ramai terutamanya peserta perhimpunan tidak seharusnya mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri dan perlu menghargai dan menghormati sepanjang masa peranan dan tanggungjawab polis dalam mengekalkan dan memelihara keselamatan, undang-undang dan ketenteraman;

• Polis perlu memakai tag nama atau nombor badan sepanjang masa menjalankan tugas manakala pegawai yang berpakaian preman yang ditugaskan untuk memantau, memerhati dan merekod peristiwa tidak boleh terlibat di dalam proses penyuraian dan penahanan, melainkan mereka memperkenalkan identiti mereka;

• PDRM perlu mengkaji semula SOP dan mewajibkan setiap anggota untuk membuat laporan selepas menjalankan tugas mereka yang mana semua butir-butir tindakan yang diambil semasa bertugas;

• Pihak berkuasa yang berkaitan dan media disyorkan untuk merujuk kepada Laporan Khas Organisasi untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah: Pengurusan media ketika demonstrasi politik (OSCE’s Special Report on the Handling of the Media), yang mana mengandungi garis panduan berkenaan cara layanan pihak berkuasa terhadap media semasa perhimpunan serta persiapan media dalam membuat liputan sesuatu peristiwa;
• Komunikasi atau taklimat di antara pihak polis dan media perlu diadakan sebelum perhimpunan dalam membantu kedua-dua belah pihak memahami peranan dan tugas masing-masing pada hari perhimpunan, dan menjangka apa-apa keadaan yang tidak diduga;

• Wartawan perlu memastikan pakaian mereka tidak sama dengan pakaian para peserta dan tag media hendaklah dipakai dan diperlihatkan sepanjang masa. Mereka juga tidak seharusnya menyertai para peserta di dalam aktiviti-aktiviti seperti berdikir dan menyanyi bagi mengelakkan daripada dikenalpasti sebagai peserta;

• PDRM perlu menjalankan dan menyelesaikan siasatan ke atas laporan polis yang dibuat oleh orang awam berhubung tindakan yang dilakukan oleh kakitangan polis bagi mengelakkan tuduhan berat sebelah dan tidak telus;

• Pihak berkuasa perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan yang boleh disalahtafsir sebagai membenarkan atau memperjuang apa-apa perlanggaran hak asasi manusia dan perlanggaran mana-mana undang-undang di negara ini; dan

• Pihak berkuasa perlu bertindak secara profesional, adil dan saksama pada setiap masa dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka agar tidak kelihatan memihak atau bersikap berat sebelah kepada mana-mana pihak atau kumpulan tertentu.