PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi membuat pengumuman calon melibatkan 15 kerusi Parlimen dan 34 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tanpa kehadiran sekutu mereka, DAP.
Mereka hanya memperuntukkan dua kerusi iaitu DUN Derga dan Kota Darul Aman kepada DAP walaupun sebelum ini DAP mahu bertanding di dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN berbanding hanya satu kerusi DUN iaitu Kota Darul Aman pada PRU12.

DAP sebelum ini menyatakan kesanggupan menentang sekutu mereka sendiri jika tidak diberikan tambahan kerusi.

Pengumuman calon PAS dan PKR bagi kerusi Parlimen dan DUN yang dibuat di Kompleks PAS Kedah di Simpang Empat dekat sini, menyaksikan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak kekal bertanding di DUN Sungai Limau.

Dengan pengumuman ini, Azizan, yang akan bertanding untuk kali kelima di DUN itu, sudah hampir pasti akan ditentang oleh sepupunya sendiri Mohd Fadzillah Mohd Ali, yang semalam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

PAS akan bertanding di 24 kerusi DUN dan PKR (10). Bagi kerusi Parlimen pula, PAS bertanding di lapan kawasan dan PKR tujuh.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akan bertanding di kerusi Parlimen Pendang setelah tewas di Kuala Kedah pada 2004 dan Kuala Terengganu pada 2008.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula akan mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena dan beliau ditentang oleh calon BN Datuk Shahlan Ismail, yang juga setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Azizan turut mengumumkan beberapa anggota exco kerajaan negeri daripada PAS akan mempertahankan kerusi DUN masing-masing iaitu Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Datuk Mohd Taulan Mat Rasul (DUN Tokai) dan Siti Ashah Ghazali Merbau Pulas.

Seorang lagi anggota exco kerajaan negeri Abd Ghani Ahmad akan kekal bertanding di DUN Ayer Hitam dengan menentang calon BN Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang berpindah dari kerusi Parlimen Jerlun.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, yang juga anggota exco kerajaan negeri pula akan berpindah daripada kerusi DUN Alor Mengkudu, dalam Parlimen Alor Setar, ke kerusi Parlimen Jerlun manakala seorang lagi anggota exco Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib, yang merupakan penyandang kerusi DUN Tanjong Dawai, digugurkan.

Bagi calon PKR yang diumumkan, Pengarah PRU Kedah Izham Ramli berkata mereka mengugurkan kesemua anggota exco iaitu Datuk S. Manikumar, Lim Soo Nee dan Tan
Joon Long @ Tan Chow Kang.

- Bernama