BN, yang menampilkan lebih 50 peratus muka baru pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) untuk bergandingan dengan pemimpin berpengalaman, kini berada pada tahap yang baik untuk merampas kembali negeri ini.
  
Timbalan Pengerusi BN Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata walaupun ramai muka baru ditampilkan, BN Kedah turut mengekalkan muka-muka lama yang masih mampu berkhidmat kepada rakyat.
  
"Kita yakin calon yang bertanding kali ini mampu menang dan memberikan tentangan yang sengit, malah yakin kita akan dapat sambutan yang baik daripada rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Manifesto atau Aku Janji BN khusus untuk negeri Kedah di Alor Setar hari ini.
  
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi BN Negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.
  
Selain itu katanya, manifesto atau Aku Janji BN khusus untuk negeri bukan bersifat cadangan memandangkan perancangannya dikemukakan kepada kerajaan pusat untuk dilaksanakan, yang membuktikan seriusnya BN untuk membangunkan Kedah.
  
Mukhriz yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, yakin BN mampu merampas kembali kerusi DUN itu daripada PAS selain mengekalkan kerusi DUN Kota Siputeh dan Parlimen Jerlun.      
  
Mukhriz berkata rata-rata rakyat di kawasan Parlimen Jerlun dan DUN Ayer Hitam menganggap kepimpinan Exco kerajaan negeri Abd Ghani Ahmad, yang akan mempertahankan kerusi DUN Ayer Hitam, lemah.
  
"Kita dapat lihat, kerja dia (Abd Ghani) ketika memegang DUN Ayer Hitam malap kerana gagal menjalankan tugasnya dan memberi kebajikan yang baik terhadap rakyat.
  
"Rakyat sendiri sudah nampak kelemahan dia, dan boleh menilai sendiri tempoh lima tahun yang lepas," katanya.

- Bernama