Semua calon Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan yang dipilih bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diterima sebulat suara oleh akar umbi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sejak pengumuman calon di buat Selasa lepas, tidak ada parti komponen yang bertindak menurunkan bendera BN atau menutup Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai tanda protes terhadap pemilihan calon.

"Ini bermakna pilihan yang dibuat pimpinan BN adalah pilihan yang tepat sekali. Terima kasih kepada semua pemimpin BN," katanya ketika melancarkan Manifesto BN Wilayah Persekutuan bertemakan 'Janji Dikota' di Kuala Lumpur, malam ini.

Justeru itu, Muhyiddin, yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, berkata kesemua 13 calon di Wilayah Persekutuan mempunyai tugas berat berdepan dengan lebih 800,000 pengundi bagi memastikan kemenangan besar BN pada PRU13, 5 Mei ini.

"Dalam tempoh kira-kira 15 hari ini, kita tidak boleh berdiam diri, tidak boleh tidur tetapi harus bangun selalu. Saya cadangkan kita edar manifesto ini di seluruh kawasan.

"Kalau kita menang, keluarkan dan lihat satu persatu, kita akan tunai dan laksanakan untuk kepentingan penduduk dan pengundi di Wilayah Persekutuan," katanya.

Muhyiddin juga mengingatkan semua calon supaya menyedari apa yang dilakukan pembangkang kerana ancaman dari pihak mereka adalah besar.

Saya sedar tugas ini amat mencabar dan bukannya perkara mudah kerana warga Wilayah Persekutuan semakin bijak dan berinformatif, mereka boleh melayari internet untuk tahu apa yang berlaku dan boleh bandingkan," katanya.

Menurutnya pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan BN termasuk janji yang tidak terkandung di dalam manifesto PRU 2008 seperti lebih 200 produk 1Malaysia.

"Kita ada sumber, ada dana dan misi maka kita boleh laksanakan. Banyak produk 1Malaysia diperkenalkan yang menyentuh setiap kehidupan rakyat dan ini tidak terkandung di dalam manifesto 2008 tetapi kita laksanakan lebih daripada apa yang kita janjikan, inilah BN," katanya.

Muhyiddin berkata sekiranya BN menang besar di Wilayah Persekutuan, lebih banyak janji dan manifestasi rakyat akan dilaksanakan dan ditunaikan oleh kesemua wakil rakyat BN yang menang.

"Sudah tentulah lebih banyak usaha dilakukan supaya masalah penduduk yang tinggal di bandar, pinggir bandar, sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan dapat diselesaikan kerana kawasan ini adalah tingkap kepada Malaysia," katanya.

Beliau berkata manifesto BN Wilayah Persekutuan adalah satu dokumen akujanji dan bukanlah seperti manifesto yang disebut pembangkang yang tidak menunaikan janji malah hanya ingin menumpang usaha kerajaan yang dibuat selama ini.

"Macam di Lembah Pantai banyak janji (ditabur) tetapi banyak juga tidak ditunaikan, malah menumpang usaha kerajaan BN...ini orang kata lembu punya susu, sapi dapat nama," katanya.

Muhyiddin berkata walaupun BN Wilayah Persekutuan hanya memenangi tiga kerusi Parlimen iaitu Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan pada PRU 2008, tetapi BN terbukti memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik daripada pembangkang di kawasan tersebut.

Menyentuh manifesto itu, Muhyiddin berkata teras pertama iaitu Kesejahteraan Warga Kota meliputi kehidupan rakyat yang tinggal di kawasan bandar bagi menjamin penduduk kehidupan yang sempurna dan berkualiti.

Beliau berkata teras kedua iaitu Objektif Pembangunan Yang Mampan dan teras ketiga iaitu Tiada Warga Kota Yang Tertinggal dengan setiap penduduk terlibat secara langsung dalam proses pembangunan secara menyeluruh.

Katanya sebuah majlis akan ditubuhkan di mana wakil penduduk akan terlibat dalam perbincangan serta memutuskan sesuatu perkara dan bukan semata-mata pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau Kementerian Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar sahaja.

Muhyiddin berkata teras keempat iaitu Anjakan Ekonomi Warga Kota bertujuan untuk memerangi fenomena kos sara hidup yang semakin meningkat setiap tahun di mana ia menjadi satu cabaran bagi penduduk yang tinggal di kawasan bandar.

"Selepas PRU13, bagaimana kita hendak bantu mereka (rakyat), apa usaha yang kita buat untuk ringankan beban khususnya mereka yang berpendapatan kecil dan miskin bandar yang perlukan pembelaan seadil-adilnya," katanya.

- Bernama