Barisan Nasional Johor akan mengumumkan tiga lagi calonnya yang akan bertanding di Parlimen Tanjung Piai serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Pekan Nenas dan Senai esok pagi.

Setiausaha akhbar Menteri Besar Johor Saodi Mat Atar memberitahu Bernama malam tadi bahawa Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani akan menyerahkan watikah pencalonan kepada ketiga-tiga calon BN itu pada satu majlis di sebuah hotel di Johor Baharu.

Bagaimanapun, sebab nama calon berkenaan tidak diumum hari ini tidak dimaklumkan.

Abdul Ghani hari ini menyampaikan watikah pencalonan kepada 25 calon BN untuk kerusi Parlimen dan 54 calon kerusi DUN.

- Bernama