Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau dan seluruh kepimpinan BN akan turun padang bertemu rakyat bagi menjelaskan kenapa mereka perlu diberi peluang memerintah negara ini sekali lagi.

Malah, beliau juga akan menjelaskan kewajaran BN diberi kemenangan dengan majoriti kukuh dalam pilihan raya sebelum ini-berbeza dengan sebelum ini apabila mereka hilang penguasaan 2/3 dalam parlimen untuk kali pertama.

NONE"Kami akan gunakan mandat kukuh itu untuk melipatgandakan usaha untuk masa depan yang lebih baik, bermakna dan sejahtera," katanya.

Bercakap ketika mengumumkan pembubaran parlimen di Putrajaya hari ini, Najib berkata, genap empat tahun beliau menjadi perdana menteri, kerajaan pimpinannya telah berikhtiar secara upaya untuk melaksanakan perubahan dan pembaharuan berdasarkan dasar 1Malaysia dan pelbagai dasar transformasi nasional.

Katanya, setelah empat tahun, rakyat Malaysia kini boleh merasai sendiri perubahan yang meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

"Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji, menepati janji. Kami merupakan kerajaan apabila diberi amanah, memelihara amanah. Bukan sikap kami menanam tebu di pinggir bibir," katanya.
NONEDalam ucapannya juga, Najib turut mengajak rakyat Malaysia untuk meneruskan usaha bagi mencapai wawasan nasional ke arah menjadi negara maju dan dan pendapatan tinggi.

"Ingatlah pencapaiannya, bukan secara automatik, ia memerlukan kita, melipatkan ganda usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang sedia ada.

"Marilah kita bersama-sama, berganding bahu, berpimpin untuk menjadi impian ini, menjadi realiti. Malaysia yang maju, makmur dan selamat, penuh dengan peluang, serta sarat dengan harapan bagi semua.

"Demi Malaysia, khidmat bakti kita curah, kepada Tuhan kita berserah," katanya bagi mengakhiri ucapannya selama 15 minit.