ULASAN
Dalam tempoh lapan tahun saya bekerja sebagai seorang wartawan, cuma
dua kali sahaja saya perhatikan orang Cina keluar beramai-ramai untuk
menyokong aktivis Melayu yang ditahan.
Kes yang pertama berlaku
pada tahun 2008 apabila penulis blog politik termasyhur waktu itu, Raja
Petra Kamarudin, ditahan bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) selama
sebulan.
Waktu itu, Raja Petra (
kiri)
dianggap sebagai "hero" oleh pembaca blognya, yang kebanyakan orang
Cina dan India kawasan bandar kerana rencana "pedas" yang ditulis secara
eksklusif dalam Bahasa Inggeris.
Kalau kita lihat gambar-gambar sewaktu dia
dibebaskan, memang kebanyakan peminatnya yang berkumpul di mahkamah adalah orang bukan Melayu.
Sebelum dibebaskan, dianjurkan beberapa acara nyalaan lilin untuk
menunjukkan sokongan, yang juga kebanyakan menarik peserta bukan Melayu.
Kelmarin pula, senario yang hampir sama berlaku berhampiran
balai polis
Jinjang, di mana sebuah perhimpunan aman untuk menyokong Adam Adli
Abdul Halim berlangsung.
Memang terdapat orang Melayu. Antaranya
aktivis lama reformasi, geng Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), geng
mahasiswa dan aktivis parti pembangkang.
Mereka faham perjuangan Adam Adli dan datang dari jauh untuk menunjukkan sokongan sampai larut malam.
'Tsunami Cina' di Jinjang
Tetapi bilangan mereka kecil kalau dibandingkan dengan kehadiran
beratus-ratus orang Cina yang mewakili kelas berpendapatan rendah sampai
kelas yang menggunakan kereta mewah.
Adanya geng gereja
Lutheran, ahli Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema) dan
geng DAP. Tetapi apa yang mengejutkan, pihak yang tidak dijangkakan
turut berhimpun demi Adam Adli.
Adanya
Ah Soh bersama tiga anak perempuanya yang masih dalam umur
persekolahan. Adanya
Ah Seng rambut perang membawa motorsikal Suzuki RG.
Adanya
ah pek yang memakai singlet putih jenama pagoda. Adanya
Ah Siang, seorang pakar penulis aplikasi untuk iPhone dari Shah Alam.
Sampai 11.30 malam, saya berasa letih dan meminta izin bos saya untuk balik rehat. Tetapi Ah Soh, Ah Seng, Ah Pek
dan
Ah Siang masih hendak berhimpun, bersorak dan menyanyi Negaraku,
walaupun sudah tengah malam dan adanya risiko ditahan polis.
Bagi saya, ini agak pelik. Kalau dibandingkan dengan ketika Raja Petra
ditahan, penyokongnya memahami pendiriannya kerana dia sudah menulis
rencana sejak beberapa dekad.
Manakala, Adam pula masih dikira
orang baru dalam arena aktivis dan pendirian. Ataupun idealismenya
kurang menarik perhatian orang ramai kerana dia bukan seorang penulis
prolifik seperti Raja Petra.
Kesilapan keutamaan
Tidak lama selepas polis menahan
18 peserta (antaranya, 11 lelaki dan 4
perempuan Cina), saya sempat berborak dengan beberapa orang Cina yang
bagi saya, tidak menonjolkan ciri-ciri kaki demonstrasi.
Tiada seorang pun yang tahu tentang latar belakang Adam Adli, ataupun kisah beliau menurunkan bendera perdana menteri di PWTC.
Tetapi,
kebanyakan orang yang ditemuramah nampaknya tidak puas hati melihat
seorang mahasiswa ditahan kerana hujahnya di sebuah forum, sedangkan
pihak berkuasa sepatutnya mengutamakan benda lain yang lebih penting.
"Itu (sebut nama seorang pemimpin BN) dia tak mahu tangkap. Olang jahat dia tak mahu tangkap. Mengapa tangkap budak itu?" Ini merupakan pandangan yang lazim diluahkan orang yang ditemuramah. Sebaliknya, soal bangsa Adam Adli tidak disentuh langsung.
Jadi kalau mahu menjawab soalan yang dikemukakan sebuah akhbar
tempatan, apa lagi Cina yang berkumpul di sekitar balai Jinjang semalam
mahu, jawapannya keadilan.
Mereka mahu pihak berkuasa
menyempurnakan tugas mereka secara adil dan saksama, bukan membuang masa
menutup mulut aktivis muda yang cuba untuk menegakkan sistem pilihan
raya yang bersih.
Itu saja Cina mahu? Saya juga membuat kesimpulan, orang Cina yang saya nampak kelmarin juga masih mahu kepimpinan Melayu.
Pada tahun 2008, Raja Petra antara pemimpin yang diagung-agungkan orang Cina kerana hujahnya berlandaskan keadilan.
Sekarang
pula orang Cina mengagung-agungkan pemimpin Melayu seperti Anwar
Ibrahim, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Khalid Ibrahim, Nizar Jamaluddin,
Salahuddin Ayub, Rafizi Ramli dan sebagainya kerana prestasi pencapaian
mereka.
Pernahkah para pembaca dengar orang Cina kata dia hendak lihat Lim Kit Siang (
kanan)
, Karpal Singh ataupun Dr Chua Soi Lek sebagai perdana menteri? Tidak.
Ketiga-tiga pemimpin ini tidak begitu fasih bahasa kebangsaan pun. Macam mana pula mereka hendak menggubal undang-undang?
Saya juga berpendapat orang Cina memahami bahawa kebanyakan orang
Malaysia adalah orang Islam yang memerlukan pimpinan orang Islam. Ini
kerana perlembagaan telah menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai
penjaga hal-ehwal Islam dan seorang perdana menteri adalah wakil
eksekutif Tuanku.
Saya mengaku, kesimpulan yang saya temukan ini
mungkin simplistik sebab ia berdasarkan satu senario yang jarang
berlaku dan berdasarkan pendapat segelintir peserta malam kelmarin.
Tetapi saya harap pemerhatian saya kelmarin dapat membuka lagi ruang
perbincangan tentang
"Apa lagi Cina mahu" dan adakah semua perbuatan
mereka merupakan pecaturan licik bersifat perkauman, seperti didakwa
sesetengah pihak.
Setahu saya, Adam Adli bukan Cina dan tidak
pernah cuba menghasut orang Cina. Secara umumnya, orang Cina tidak kenal
dia pun, lebih-lebih lagi orang Cina Jinjang.
ANDREW ONG bertugas di
Malaysiakini (laman Bahasa Inggeris). Ini rencana pertamanya yang ditulis dalam Bahasa Melayu.