Seorang pensyarah sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang remaja dua minggu lalu.

Vasuthreva Menon, 42, didakwa melakukan kesalahan itu ke atas seorang budak lelaki berusia 15 tahun itu di tempat duduk bahagian depan sebuah kereta Gen 2 yang diletakkan di Jalan Raja Uda, Kampung Baru di ibu negara antara 7.30 hingga 10.30 malam, 30 Mei lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Majistret Saiful Akmar Said membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Julai untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sarihan Abdul Shatar manakala tertuduh tidak diwakili.

-Bernama