APA yang Perdana Menteri Najib Razak buat di Selangor selepas menjadi Presiden Umno tahun 2009 kira-kira sama macam yang Dr Mahathir Mohamad buat di Kelantan selepas dia mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Presiden Umno menjelang PRU 1990.
Sebaik saja Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, dia menggugurkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib daripada jawatan Kabinet dan menggantikan dirinya sebagai Ketua Perhubungan Umno Selangor.
Ada dua sebab Najib menjadikan dirinya ketua Umno dan ketua Barisan Nasional Selangor. Pertama dia memang tidak suka kepada Muhammad Taib. Apa sebab itu adalah masalah dirinya.
Yang kedua dia hendak merampas kerajaan Pakatan Rakyat Selangor setelah dia berjaya merampas kerajaan Perak dalam tahun 2009.
Sebaik Tajol Rosli meletak jawatan sebagai Ketua Perhubungan Umno Perak, maka Najib telah mengambil jawatan itu. Dia pun merampas kerajaan Perak tanpa melalui perlembagaan.
Selepas itu dia beralih ke Selangor. Dilepaskannya dulu jawatannya di Perak untuk diganti oleh Dr Zamri Abdul Kadir.
Cerdiknya Najib ketika dia menyusun ketua-ketua Umno negeri tidaklah dia menamakan dirinya saja sebagai orang luar mengambil jawatan ketua Umno di Selangor.
Diangkatnya sama Dato’ Seri Zahid Hamidi jadi ketua Umno Pulau Pinang, Hishammuddin Hussein jadi ketua Umno Kelantan dan Shafie Afdal jadi ketua Umno Kedah.
Mungkin negeri-negeri berkenaan tidak menerima orang luar, maka kesemua Naib Presiden Umno itu digugurkan daripada ketua Umno negeri berkenaan, tetapi Umno dan BN Selangor tetap di bawahnya.
Setelah Dr Khir Toyo tidak dapat menjadi ketua Umno Selangor yang berkesan, atau mungkin tidak selesa memegang jawatan itu disebabkan oleh Muhammad Taib duduk dalam jawatankuasa perhubungan sebagai salah seorang ketua Umno Bahagian di Selangor, jawatan ketua Umno Selangor itu diserahkan semula kepada Muhammad.
Selama Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Presiden Umno, Muhammad Taib adalah salah seorang daripada tiga Naib Presiden Umno bersama dengan Najib dan Abdullah Badawi. Mereka layak menggantikan Anwar apabila dia dipecat oleh Dr Mahathir.
Jika Dr Mahathir mengikut kaedah yang dibuat oleh Tun Hussein Onn memilih Timbalan Perdana Menterinya bukan daripada Naib Presiden Umno yang terkanan pada masa itu iaitu Ghafar Baba dan Tengku Razaleigh tetapi mengambil Naib Presiden yang ketika iaitu Dr Mahathir, maka Muhammad yang jadi Naib Presiden Umno yang ketiga selepas Najib dan Abdullah ada peluang jadi Timbalan Perdana Menteri.
Kekurangan Muhammad masa itu dia bukan anggota Parlimen. Yang layak jadi Perdana Menteri ialah seorang anggota Dewan Rakyat.
Kalau Muhammad dijadikan Timbalan Perdana Menteri, kiranya berlaku sesuatu kepada Perdana Menteri ada masalah sedikit bagi orang yang bukan anggota Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun Dr Mahathir juga tidak mengambil Naib Presiden yang terkanan menjadi pengganti Anwar, tetapi mengambil Naib Presiden yang kedua iaitu Abdullah.
Apa pun Muhammad adalah saingan terdekat kepada Najib dan Abdullah.
Abdullah nampak mesra dengan Muhammad Taib. Selain daripada menjadikan Muhammad sebagai senator bagi melayakkannya menjadi Menteri Luar Bandar, Muhammad juga dijadikannya Ketua Penerangan Umno yang kedudukannya hampir sama dengan Setiausaha Agung. Kiranya Setiausaha Agung cuti ke Makkah maka Ketua Peneranganlah yang memangku Setiausaha Agung.
Sesudah Muhammad dibebaskan daripada dakwaan mahkamah Australia, dia tidak dicalonkan sekurang-kurangnya dua kali PRU 2004 dan PRU 2008. Siapa yang menghalangnya. Kalau Abdullah menghalangnya, mengapa Abdullah boleh menjadikannya anggota Kabinetnya dan Ketua Penerangan Umno di bawahnya?
Mungkin Najib? Dan terbukti Najib mengenepikannya, bukan sekadar menggugurkannya daripada Kabinet, bahkan tidak memberi apa-apa peranan dalam Umno Selangor.
Apa yang Najib buat itu sama dengan yang Dr Mahathir buat pada Ku Li di Kelantan. Bukan saja dia jadi pemimpin Umno Kelantan, bahkan dia ketua angkat Umno Bahagian Gua Musang. Apabila Mahathir membentuk Umno (Baru), Ku Li tak boleh masuk.
Ku Li itu adalah pemimpin Umno Kelantan. Anuar Musa yang dijadikan pemimpin baru Umno Kelantan itu asalnya adalah orang yang Ku Li bawa ke tengah. Walaupun Anuar setuju jadi boneka Dr Mahathir tetapi orang Umno dan rakyat Kelantan terasa mereka telah diketapikan oleh Dr Mahathir.
Gara-gara Dr Mahathir menjadikan diri sebagai gabenor Umno Kelantan dan bapa angkat Umno Gua Musang, bukan saja Umno Gua Musang tidak melihatnya sebagai bapa angkat tetapi dia dilihat sebagai bapa tiri.
Tidak salah kiranya kita samakan Dr Mahathir pada Umno Gua Musang sama seperti orang Melayu melihat penjajah Inggeris. Orang Melayu tolak Inggeris dan orang Umno Gua Musang dan Kelantan tolak Dr Mahathir. Umno bukan sekadar kalah di Gua Musang, bahkan tidak seorang pun calon Umno baik Parlimen mahupun Dun menang dalam PRU 1990.
Walaupun boneka lama Dr Mahathir di Kelantan, Tan Sri Mohamad Yaakub diganti dengan boneka baru, Anuar Musa, ia tetap ditolak oleh Umno dan rakyat.
Akhirnya Dr Mahathir tidak lagi menjadi bapa sesiapa bagi Umno Kelantan. Dia berpuas hati menjadi bapa kepada anak-anaknya saja, Mukhriz, Mukzani dan yang lain.
Tidak lagi dia pergi ke Gua Musang dan tinggallah Umno Kelantan untuk boneka-bonekanya.
Dr Mahathir boleh tidak setuju dengan Ku Li, tetapi berilah peluang kepada Umno Kelantan menentukan siapa yang mereka mahu untuk menggantikan Ku Li? Gabenor Umno Kelantan itu mengalami pengalaman pahit dan gelap selama memimpin partinya di Kelantan.
Bukan Umno Kelantan saja tidak mahu menerima gabenor-gabenor dari luar untuk menentukan Umno di negerinya. Umno PUlau Pinang, Kedah dan Terengganu juga tidak dapat menerima gabenor dari luar.
Jika Najib mengekalkan Shafie Afdal dan Hishammuddin Hussein ssebagai gabenor Umno Kedah dan gabenor Umno Terengganu, maka Umno dan BN Kedah dan Terengganu akan jadi sama dengan nasib Umno Selangor.
Dari awal dia tahu Zahid Hamidi tidak boleh mengubah nasib Umno Pulau Pinang. Daripada Zahid dimalukan, elok juga dia ditamatkan khidmat gabenornya di situ.
Najib sangka apa yang telah dihadapi oleh Dr Mahathir di Kelantan dan kebarang kalian nasib sama terjadi kepada Shafie di Kedah dan Hishammuddin di Terengganu, tidak mungkin terjadi padanya di Selangor. Dia ketepikan pemimpin akar umbi Umno Selangor. Dia angkat beberapa orang bonekanya untuk merampas Selangor daripada pimpinan Pakatan yang tidak rasuah, tidak menggelapkan duit negeri.
Dia bukan sekadar tidak dapat mengulangi rampasan kuasa seperti di Perak dulu, dia juga dinafikan oleh pengundi melalui peti undi.
Hingga pasca PRU13, Najib masih dilihat sebagai gabenor Umno Selangor. Semua orang kata, Umno Selangor tidak mahukan seorang gabenor. Mereka mahu anak watan Selangor sendiri jadi pemimpin mereka. Sekalipun Umno tiada rotan untuk memimpin mereka, akar biasa pun tak mengapa. Mungkir akar tidak seperti rotan, tetapi akar biasa itu adalah lebih daripada gabenor dari luar.
Apa yang terjadi pada Umno Selangor di bawah gabenor Najib samalah dengan apa yang Mahathir lalui di Kelantan.
Oleh Subky Latif
Tiada ulasan:
Catat Ulasan