Seperti biasa kita akan terbaca kenyataan PDRM melarang himpunan ini kerana dikatakan tidak ‘bersunat dan tidak bersembelih' - haram menyalahi undang-undang. Orang ramai akan diingatkan agar jangan datang. Kita akan terbaca kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur menerangkan bahawa Dataran Padang Merbok telah ditempah semenjak tujuh tahun dahulu. Kita akan terdengar kata-kata nista dan cerca tentang demo ini dari kaca TV.
NGO Melayu Islam akan tunggang tunggit bersuara menyatakan bantahan. Guru silat dengan ilmu ghaib berjanji akan datang untuk membuat demo yang berasingan. Penjual Ikan Bakar akan menggoyangkan buntut membantah perhimpunan satu juta rakyat di Dataran Padang Merbok. Akan ada temubual dengan mamat pemandu teksi dan mat tuan punya warung yang meraung marah kerana pada hari tunjuk perasaan mereka akan kehilangan mata pencarian.
Semua ‘heboh-heboh' di atas hanyalah berita yang dimunculkan khusus untuk mengalihkan fokus orang ramai. Heboh-heboh abang polis ini tidak menjawab soalan hakiki untuk kurun ini. Kenapa rakyat turun berdemo? Jawabnya: Ratusan ribu rakyat turun ke jalan raya berdemo kerana PRU13 dahulu telah dimenangi oleh United Malayas National Organisation dengan jalan tipu. Rakyat tidak mahu menerima keputusan PRU13. Orang ramai marah maka mereka ke jalan raya berdemo.
Kenapa perlu berdemo? Jawabnya: Kita perlu berdemo untuk menuntut tujuh orang pesuruhjaya SPR meletak jawatan. Kita berdemo untuk memastikan ada pemilihan di 25 kawasan yang terbukti berlaku penipuan. Kita wajib berdemo untuk memastikan projek persempadanan semula dihentikan dengan serta merta. Projek persempadan ini adalah satu lagi projek tipu dari United Malays National Organisation. Projek ini bertujuan untuk memastikan dalam PRU14 nanti Pakatan Rakyat akan lumat.
Masih tidak yakin sebab musabab kenapa kita wajib berdemo?
Biar saya terangkan bahawa di Malaysia ini jika pilihan raya yang boleh mengubah apa-apa maka pilihan raya itu akan diharamkan. Apakah ayat yang saya tulis ini sahih atau hanya ayat-ayat propaganda? Atau satu hasutan jahat?
Biar saya surahkan sejarah untuk membuktikan bahawa jika pilihan raya boleh mengubah apa-apa maka pilihan raya itu akan diharamkan. Untuk anak anak muda, untuk generasi yang lahir sesudah tahun 70-an pasti tidak tahu bahawa pada satu ketika dahulu ada pemilihan - ada pengundian - untuk memilih ahli majlis kerajaan tempatan. Ertinya Datuk Bandar bukan dilantik tetapi dipilih melalui undi orang ramai. Begitu juga ahli-ahli majlis tempatan - semua dipilih melalui pengundian.
Sejarah membuktikan bagaimana di setiap kali pemilihan kerajaan tempatan ini dijalankan yang menang ialah Parti Rakyat, Parti Buruh atau kumpulan Front Sosialis. Ini sebelum Parti Buruh menjadi arwah. Kota Pulau Pinang, kota Melaka, bandar Seremban atau bandar Johor Bahru - semuanya dikendalikan oleh Ahli Majlis yang dipilih oleh warga kota. Kota Ipoh pula dimenangi oleh PPP - sebelum parti ini menjadi mandul.
United Malays National Organisation tidak dapat bernafas. Parti ketuanan Melayu tidak pernah dapat menguasai kerajaan tempatan melalui pilihan raya. Maka pada tahun 1964 pilihan raya kerajaan tempatan diharamkan hingga ke hari ini. Pada hari ini ini semua ahli majlis - DBKL, MBPJ, MBS dan, dan, dan... semuanya dilantik.
Surah ini membuktikan dengan sahih bahawa pilihan raya di Malaysia ini jika dapat mengubah apa-apa maka pilihan raya itu akan diharamkan.
Lalu timbul soalan sampingan. Apakah demo ini bertujuan untuk menggulingkan kerajaan. Jawabnya: Menggulingkan kerajaan yang zalim itu satu kewajipan. Bukan satu yang pelik jika ada sesiapa yang turun berdemo dengan niat mahu menggulingkan kerajaan. Ini bukan satu niat yang salah.
Biar saya terangkan di sini bahawa Nik Aziz juga bercita-cita untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional. YB Nurul Izzah juga memiliki niat yang sama. Timbalan Presiden Pas Mat Sabu juga bercita-cita untuk menggulingkan kerajaan United Malays National Organisation. Lim Kit Siang anak beranak pun mahu menggulingkan kerajaan hari ini.
Malah Najib Razak sendiri secara terbuka berniat untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Datuk Mustapa Muhamed telah merancang dengan licik dan lama untuk menggulingkan kerajaan Pas di Kelantan. Justeru menggulingkan kerajaan bukan satu jahat.
Lalu ditimbulkan hujah bahawa Nik Aziz, Mat Sabu, Lim Kit Sing atau Nurul Izzah mahu menggulingkan kerajaan United Malays melalui pilihan raya. Tetapi seluruh rakyat Malaysia sedar bahawa mustahil United Malays National Organisation akan dapat digulingkan melalui pilihan raya.
Dari sinilah muncul wacana hakiki tentang kemustahilan kerajaan zalim ini digulingkan melalui pilihan raya.Mustahil kezaliman ini dapat ditamatkan melalui pilihan raya. Tidak mungkin United Malays National Organisation akan kalah dalam pilihan raya. Ini kerana sistem pengundian - sistem pilihan raya itu - telah direka dan dibuat untuk memastikan United Malays National Organisation akan terus menang.
Menuntut pilihan raya bersih dan adil - perjuangan Bersih - adalah satu kerja yang baik. Tetapi mustahil United Malays National Organisation akan melunaskan lapan tuntutan Bersih. Mustahil Parti ketuanan Melayu ini mahu menjalankan satu pilihan raya yang bebas dan adil. Dalam pilihan raya yang bebas dan adil Pakatan Rakyat akan menang manakala United Malays National Organisation akan dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah.
Kerana itu United Malays National Organisation telah menjalankan pelbagai bentuk penipuan dalam pilihan raya. Telah dibuktikan bagaimana dalam PRU13 yang lalu Pakatan Rakyat telah ditipu. Pengundi Pakatan Rakyat telah ditipu. Kemenangan rakyat telah dicuri. Kerana ini rakyat marah. Inilah sebab orang ramai turun ke jalan raya.
Lalu timbul lagi persoalan - apakah dengan tunjuk perasaan ini akan berlaku perubahan. Jawabnya: Boleh berlaku perubahan. Dalam satu demo yang besar ia akan memberi tekanan yang kuat terhadap Najib Razak dan konco-konconya dalam United Malaya National Organistaion. Kalau satu juta rakyat turun ke jalan raya. Kalau ratusan ribu rakyat turun ke Dataran Padang Merbok dan mereka TIDAK berganjak dari menuntut tiga Tuntut #TIPU505 maka elit politik akan retak dan pecah.
Lihat sekarang bagaimana pengerusi SPR telah membuat kenyataan bahawa dia telah menjalankan tugas dengan baik maka tidak perlu letak jawatan. Kenyataan ini bukan ditujukan kepada penyokong demo jalan raya. Kenyataan ini ditujukan kepada tuannya ernama Najib Razak.
"Den dah buat kojo jahat apo pulak kao nak buang den" - inilah isi hati si penjenayah yang semakin sedar tali gantung kariernya telah semakin hampir.
Kenyataan terbaru dari pengerusi SPR ini lagi lawak dan lagi seram. Si mamat ini kini merasa sedih dan kecewa kerana dakwat kekal TIDAK kekal. Lihat bagaimana berapa hari sesudah PRU13 dijalankan. Si mamat ini amat angkuh dan kurang ajar. Mamat ini telah menolak wujudnya penipuan dakwat kekal. Lampu padam tidak wujud. Gambar lampu padam di tempat pengiraan undi sengaja diada-adakan. Semua hujah Pakatan Rakyat dianggap fitnah.
Kenapa hari ini sedih dan menyesal? Jawabnya: Si mamat ini merasa sedih dan kecewa kerana si mamat ini tahu pada 22 haribulan ini ratusan ribu rakyat akan turun ke jalan raya. Ratusan ribu rakyat ini TIDAK akan pulang sehingga si mamat ini bersama enam lagi pesuruhjaya SPR meletakkan jawatan. Tali gantung kariernya semakin hampir kerana itu si mamat ini sedih dan kecewa.
Perubahan bunyi suara pengerusi SPR ini membuktikan bahawa politik jalan raya telah membawa hasil. Kini rakyat Malaysia juga sedar bahawa elit politik dalam United Malays National Organisation sedang retak. Mereka sedang bergaduh - tuduh menuduh - menyalahkan satu sama lain. Kini telah ada ura-ura untuk menendang Najib. Ada rancangan untuk menobatkan Tengku Razaleigh sebagai ganti.
Perubahan politik ini TIDAK akan berlaku jika rakyat TIDAK turun ke jalan raya. Kalau orang ramai tidak turun ke jalan raya menolak penipuan maka gerombolan United Malya National Organisation akan terus berkenduri kendara merompak harta negara kita.
Jika rakyat TIDAK turun ke jalan raya maka dunia luar tidak sedar tentang penipuan yang telah berlaku dalam PRU13. Masyarakat dunia juga tidak sedar bahawa rakyat Malaysia telah menolak keputusan PRU13. Semua ini akan berubah pada Sabtu 22 Jun ini. Pada petang Sabtu ini ratusan ribu rakyat di jalan raya adalah papan poster rakyat Malaysia kepada rakyat dunia. Papan ini tertulis: Bahawa rakyat Malaysia menolak keputusan PRU13.
Inilah kejayaan politik jalan raya. Imej-imej orang ramai di jalan raya akan tersebar luas ke seluruh dunia. Gambar-gambar anak muda di Dataran Padang Merbok akan menaikkan taraf anak muda Malaysia sebaris dengan anak muda di Dataran Tahrir. Imej-imej berdemo akan menobatkan anak muda Malaysia setaraf dengan anak-anak muda di Dataran Taksim.
Kita bukan Arab Spring, kita bukan meniru Dataran Tahrir, kita bukan mengikut anak muda Turki adalah cakap cakap kosong. Yakinlah bahawa ramai rakyat Malaysia ini mahu melihat Najib ditangkap seperti Husni Mubarak. Yakinlah majoriti rakyat Malaysia - 52 peratus - mahu menghancurkan United Malays National Organisation. Yakinlah bahawa ramai anak muda pada Sabtu ini ingin membuat sejarah sama seperti di Dataran Tahrir atau di Dataran Taksim. Ini kerana dunia ini akhirnya adalah milik anak muda
Tiada ulasan:
Catat Ulasan