Feb 11, 09 12:02pm
dikemaskini Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengumumkan pelantikan tiga penasihat menteri besar dan seorang ketua penerangan kerajaan yang semuanya bertaraf exco.
Mereka terdiri daripada Datuk Mohd Najumuddin Elias yang dilantik sebagai penasihat Hal Ehwal Agama Islam; Datuk Chang Ko Youn (penasihat Hal Ehwal Kaum Cina), dan Datuk S Veerasingam (penasihat Hal Ehwal Kaum India) manakala Datuk Hamdi Abu
Bakar dilantik Ketua Penerangan Kerajaan Negeri, lapor Bernama.
Chang merupakan timbalan pengerusi Gerakan peringkat nasional manakala Veerasingam adalah naib presiden MIC.
Dalam pilihanraya umum lalu, Chang tewas di Parlimen Beruas manakala Veerasingam pula kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai.
Mohd Najumuddin pula menang di DUN Batu Kurau, manakala Hamdi menang di DUN Pengkalan Baru.
Dr Zambry turut mengumumkan portfolio bagi anggota exco kerajaan negeri.
Dalam senarai itu, Dr Zambry menjadi pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Ekonomi, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Hasil Bumi, Pertanian, Perumahan dan Agama.
Manakala Hamidah Osman dilantik exco kanan dengan mempengerusikan Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, ICT, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita; Datuk Ramly Zahari (pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air), Dr Mah Hang Soon (pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam).
Datuk Saarani Mohamad dilantik pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan; Mohd Zahir Abdul Khalid (pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi), dan Zainol Fadzi Paharuddin (pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan).
Dr Zambry mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baru Jumaat lalu selepas Barisan Nasional membentuk kerajaan negeri selepas kerajaan Pakatan Rakyat hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN), ekoran tindakan empat anggotanya keluar parti masing-masing untuk menyokong BN.
Masuk pejabat
Sebelum itu, pada jam 10 pagi tadi beliau secara rasmi memasuki pejabat Menteri Besar di Bangunan Darul Ridzuan dengan diiringi barisan exco.
Ketibaan mereka disambut kakitangan Pejabat Menteri Besar dengan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini, Dr Zambry berkata, tiada tempoh percubaan bagi enam anggota exco kerajaan negeri Perak dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah selepas mereka
mengangkat sumpah bagi jawatan itu di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar semalam.
Katanya, apa yang lebih penting baginya dan barisan Exco yang dibentuk adalah memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas kepada rakyat selain tanggungjawab sebagai ahli dewan undangan negeri kawasan masing-masing.
"Saya ingin sebutkan di sini, inilah barisan exco yang dibentuk seramai enam orang. Kita tidak ada tempoh percubaan atau yang sering disebut sebagai 100 hari dan sebagainya. Bagi kita, (melaksanakan tanggungjawab) bermula daripada mengangkat sumpah, itu adalah waktunya di mana kita mesti melakukan tugas dan tanggungjawab kita," katanya.
Mengenai hanya enam Exco yang dilantik bagi menerajui pentadbiran negeri berbanding 10 exco kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini, Zambry berkata ia bergantung kepada keperluan tertentu dan keputusan yang dibuat.
Katanya dari segi peraturan, menteri besar boleh melantik seberapa ramai Exco yang beliau mahu.
Jumlah exco kurang
"Minimum mungkin empat, mungkin kita juga boleh melantik lima, enam orang tetapi itu bergantung kepada keperluan dan keputusan yang dibuat...kita akan fikir dari masa ke semasa (jika mahu menambah bilangan exco) atas nama keperluan," katanya.
Beliau juga berkata pengurangan hanya kepada enam Exco kali ini, ia tidak akan membebankan setiap exco bagi memikul tanggungjawab mengikut portfolio yang diberikan kepada mereka.
"Kita perlu satu barisan kombinasi generasi baru dan golongan muda yang suaranya didengar dan dalam masa yang sama kita imbangkan dengan mereka yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran serta yang telah berada dalam kerajaan. Ia adalah satu barisan Exco yang unik," katanya.
Ketika ditanya mengenai polisi dan dasar kerajaan negeri yang baru dibentuk ekoran tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat selepas empat anggotanya keluar parti masing-masing untuk menyokong BN, Zambry berkata semua dasar kerajaan BN adalah untuk rakyat.
Katanya selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada Mac lalu, mereka telah meneruskan polisi yang digariskan kerajaan BN sebelum itu.
"Kamu perlu tahu bahawa banyak polisi yang mereka (kerajaan Pakatan Rakyat) umumkan itu adalah polisi BN. Sekarang ini sebagai kerajaan negeri yang baru, yang penting bukan mengenai polisi kami atau polisi mereka kerana kepentingan dan kebaikan untuk rakyat adalah keutamaan," katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau mendapat sokongan majoriti rakyat Perak walaupun selepas Sultan Azlan Shah tidak perkenan untuk membubarkan DUN ekoran kemelut politik yang melanda, beliau berkata: "Ini adalah proses demokrasi. Adakah anda faham mengenai demokrasi? Adakah anda faham mengenai falsafah politik demokrasi?".
Katanya Pakatan Rakyat yang sepatutnya ditanya berhubung sokongan majoriti rakyat Perak apabila mereka mula bercakap berhubung isu lompat parti sejak pilihanraya umum lepas.
MalaysiaKini
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan