Dilulus terbit pada Friday, February 13 @ 17:00:00 MYT oleh TokPenghulu
Oleh md daud yusri fie
Salam perjuangan untuk hati-hati yang bernyala, Bangsa adalah satu nikmat yang Allah beri kepada hambanya didunia ini. Dari terbit matahari hinggalah terbenam matahari adalah diberitakan terdapat hampir 1000 jenis bangsa dan kaum yang ada didunia ini. Walaupun kita datang dari perut yang satu iaitu Adam dan Hawa akan tetapi Allah sengaja mencipta berbagai2 jenis bangsa dan kaum ini agar kita berfikir kenapakah ini berlaku dan apa natijahnya Allah jadikan kita berpuak2 sebegini.
Apabila kedatangan Mohamad SAW ketanah arab, puak2 yang ada ini cukup tegang leher diantara mereka. Pantang ada pergeseran sikit pasti satu keturunan akan menjadi mangsa serakah mereka. Begitulah hebatnya ketegangan puak dan kaum pada zaman terebut. Tetapi Allah sengaja menjadikan perkara tersebut berlaku dan kita pun akhirnya mengetahui bahwa kerana itulah Nabi SAW diturunkan melalui perut Siti Aminah yang mulia. Tanpa mengira siapa kita, seruan nabi tetap diteruskan baik hamba mahupun pembesar negara. Tanpa mengira rintangan dan ancaman yang dihadapi, Rasullulah tetap teguh menyiarkan syiar Islam di muka bumi ini. Andai kitalah diberi tugas tersebut tanpa sebarang imbuhan pasti berkuburlah seruan tersebut.
Kita lihat Madinah merupakan negara pertama di dunia yang mempunyai dokumen2 bertulis berkenaan pemerintahan dan perjanjian. Para mulimim dan muslimat serta kafirin mendapat hak mereka masing2 dengan Rasulullah sebagai ketuanya. Kita lihat Rasulullah yang dijanjikan syurga oleh Allah pun harus mengharungi kehidupan seharian seperti manusia lain. Tak ada langsung magik dan kuasa aneh yang Allah beri kepadanya. Semuanya seperti kita hidup ketika ini. Akan tetapi tugas yang Allah beri kepadanya melangkaui batas masa dan paras rupa. Itulah Islam untuk manusia dari mula hinggalah ke akhirat nanti.
Semakin lama kita dari zaman Rasulullah, semakin sempit pula perjuangan kita. Bermula untuk semua manusia tetapi kini berjuang atas nama bangsa pula. Pelbagai teori dicipta untuk menyelamatkan bangsanya, dan akhirnya Melayu cuba untuk diperkasa di tanah air sendiri. Perjuangan adalah dari Melayu dan untuk Melayu serta setiap hari bercerita tentang Melayu. Pada awal perjuangan kelihatan itulah yang kita harapkan dari mereka yang berjuang. Segala macam ketakutan dicanangkan kepada Melayu dari Melayu tersebut. Itulah dan inilah yang dicerita kepada Melayu agar mereka sentiasa takut dan fikirkan demi kelangsungan hidup generasi Melayu di tanah Melayu.
Setelah hampir 52 tahun berjuangan atas nama Melayu, kaum yang dikatakan Melayu itu semakin LAYU. Perbagai permasalahan muncul di kalangan Melayu. Semakin maju pejuang Melayu itu semakin keterbelakang pula pengikut2nya. Hairan juga bila kepala keretapi bergerak tanpa gerabak di belakang dibawa bersama. Masalah politik,ekonomi dan juga sosial semua terjadi pada kaum Melayu ini. Yang merempat Melayu, yang mengumpat Melayu, yang hebat juga Melayu dan yang hidup tidak bersifat pun juga Melayu. Mana pejuang Melayu yang handal selama ini.Adakah mereka tahu masalah Melayu ataupun buat tak tahu.
Disebabkan perjuangan atas nama Melayu dan Melayu itu semakin LAYU, maka diberitakan bahawa Melayu itu layu disebabkan TONGKAT. Melayu ini lemah kerana hanya hidup bertemankan tongkat. Segalanya tongkat malah ingin berkahwin pun perlu bertongkat. Jika tiada tongkat maka susahlah Melayu ini. Pemimpin Melayu yang mengutarakan tentang masalah tongkat ini sudah tidak berkuasa. Pernahkah kita terfikir bahawa pemimpin yang dinobatkan itu juga melalui khidmat tongkat juga. Tanpa tongkat sidiapun tidak akan dapat merasai dunia kuasa tersebut.
Kenapa tongkat disalahkan pula?
Pejuang2 Melayu itu telah mengaburi pandangan Melayu itu. Orang Melayu harus dapat itu dan ini di Tanah Melayu atas dasar Tanah Melayu adalah milik Melayu. Tanpa Melayu orang lain pasti tidak merasai tanah milik Melayu ini. Apabila keadaan yang diperjuangkan itu tidak kelihatan sehingga kini, maka tongkat perlu disalahkan demi kelangsungan perjuangan Melayu. Ketika Melayu diperjuangkan sehebatnya, Goh Tong sudah menarah gunung. Boon Siew sudah laju dijalan raya dan Krisnan sudah menguasai langit. Mana wajah Melayu yang diperjuangkan selama ini. Adakah ASB itu makhluk berhati Melayu, adakah Keretapi Tanah Melayu itu tulangnya Melayu atau adakah Baju Melayu itu dijahit oleh Melayu.
Wahai makhluk bernama Melayu,bukalah minda dan terokailah dunia ini. Dunia ini luas dan lebih luas dari dunia Melayu. Nama Melayu adalah rekaan orang2 terdahulu untuk membezakan antara manusia dengan haiwan sahaja. Tidak langsung mereka membezakan antara Abang Najib dengan Tok Batin itu mana yang lebih Melayunya. Ketahuilah bahawa bangsa yang dikatakan Melayu itu amat maju di dunia bukan Melayu. Orang Melayu di Afrika adalah orang yang dikatakan cukup kaya di sana. Melayu di New Zealand adalah bangsa yang disegani. Mereka tidak dicanangkan dengan kuasa Melayu. Malah mereka hidup dengan jaya di negeri bukan melayu.
Marilah Melayu kita berjuang atas nama Allah. Janganlah takut Melayu hilang kuasa tetapi takutlah Allah hilang di dada. Apalah sangat nikmat dunia ini berbanding nikmat di sana. Kuasa Melayu itu bukanlah sangat untuk kita tetapi untuk mereka yang berjuang kononnya untuk Melayu. Jika kita masih berfikiran Melayu seperti dilaungkan pejuang Melayu, ketahuilah bahawa dunia Melayu ini terlalu kecil dan terlalu sempit. Tiada apa yang boleh dibuat dengan dunia Melayu ini. Hanya berebut tanah yang luas sekangkang kera sahaja.
Berfikiran seperti Rasulullah adalah cara sepatutnya kita gunakan. Baginda tidak memperjuangkan kaum quraish sedikit pun malah demi manusia di dunia ini. Bila ini yang Rasulullah fikirkan, bukan sahaja mekah dapat dikuasai malah dunia di China sehinggalah dunia di Amerika merasai nikmatnya Allah di dada. Oleh itu janganlah terlalu bangga dengan Melayu tetapi bersyukurlah Allah ada bersama kita. Janganlah kita mati atas nama Melayu tetapi biarlah mati atas landasan Allah.
Yang baik itu Allah dan yang buruk itu saya.
'ILA GHAYATUL QUSWA'
md daud yusri fie
www.dacreativesniaga.biz
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan