Abdul Rahim Sabri | Feb 13, 09 12:11pm
PAS - salah sebuah parti gabungan Pakatan Rakyat - bersetuju kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, di Kedah ditandingi calon PKR kerana ia memang kerusi tradisi parti tersebut.
Perkara tersebut disahkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi ketika diminta mengulas desas-desus bahawa parti itu berminat meletakkan calonnya bertanding kerusi tersebut.
Ekoran itu, katanya, soal calon tidak dibincangkan dalam mesyuarat dewan harian PAS negeri Kedah petang semalam.
Sebaliknya, kata beliau yang juga exco kerajaan negeri berkata, mesyuarat semalam menumpukan kepada soal membuat persiapan bagi menghadapi pilihanraya kecil Bukit Selambau.
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau akan diadakan serentak pada 7 April depan, manakala penamaan calon pada 29 Mac ini.
Dalam pilihanraya umum lalu, kertas penamaan calon PKR, Saiful Izham Ramli ditolak atas sebab-sebab teknikal.
Ekoran itu, V Arumugam yang bertanding atas tiket bebas menang dengan majoriti 2,362 undi. Beliau mendapat 13,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, S Krisnan yang mendapat 10,863 undi.
Pada 2004, PKR turut meletakkan calonnya - Mustafa Khalid Hanafi - bertanding kerusi tersebut tetapi beliau dan calon DAP - G Ghanagaru - tewas kepada calon BN dari MIC, Datuk V Saravanan.
Bagaimanapun, DAP tidak meletakkan calonnya pada 2008 ekoran persefahaman yang dicapai antara parti-parti pembangkang untuk menentang BN secara satu lawan satu di semua kerusi yang mereka tandingi.
Kerusi tersebut kosong selepas penyandangnya, V Arumugam dari PKR meletakkan jawatan sebagai Adun kawasan tersebut 9 Februari lalu.
Sebelum ini, PAS dilaporkan berminat untuk meletakkan calonnya dari berturunan India-Jegadeeson Thavasu - dari Sungai Petani.
Beliau yang merupakan ahli kelab penyokong PAS di Kedah, Jegadeeson aktif berkempen untuk calon parti itu dan Pakatan dalam pilihanraya umum lalu.
Selain PAS, DAP juga telah menyuarakan hasratnya untuk bertanding kerusi tersebut kali ini.
Antara calon yang disebut-sebut ialah ahli seumur DAP, S Neelamekan, 49, yang dilahirkan di Pulau Pinang.
Penyelaras nasional Hindraf, RS Thanenthiran, 45, juga dilaporkan mungkin bertanding atas tiket PKR.
Sementara itu, Phahrolrazi berkata, dalam kontak negeri Kedah, kerusi Bukit Selambau wajar diwakili calon keturunan India.
Jika tidak, katanya, maka tidak adalah wakil rakyat berketurunan India di dalam Dewan Undangan Negeri Kedah.
MalaysiaKini
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan