Dilulus terbit pada Friday, February 13 @ 17:30:00 MYT oleh TokPenghulu
Oleh Arif Atan
Melayu pada asasnya terkenal sebagai bangsa yang halus budi pekerti dan baik tutur katanya. Ini dapat dilihat daripada khazanah ribuan patah perumpamaan, simpulan bahasa dan peribahasa serta gugusan pantun dan gurindam yang indah susun kata dan makna tersiratnya.
Malah, kemerduan irama lagu Melayu asli, gerak sopan seni tari serta kayanya falsafah di sebalik jalinan ukiran awan larat Melayu juga adalah lambang tingginya akal budi bangsa Melayu yang mementingkan semangat kasih sayang dan keharmonian.
Jika hendak menyatakan rasa tidak puas hati sekalipun, orang Melayu akan mengambil daya usaha menggunakan cara yang tidak akan mengguris hati orang lain. Seringkali pendekatan ibarat menarik rambut dari tepung, rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerak dijadikan panduan dalam tindakan yang mahu diambil.
Pendek kata, pemikiran dan akal budi orang Melayu yang kukuh jati diri budayanya jelas bijaksana lantaran berpegang pada tindakan yang rasional bukannya terbawa-bawa oleh mainan emosi yang membuta tuli.
Malangnya, orang Melayu hari ini walaupun bangga berada dalam era globalisasi tetapi kian jauh tersasar tiada harga diri. Adakah orang Melayu sudah lupa kekayaan jiwa bangsanya lalu terbabas dari atmosfera nilai pemikiran nenek moyangnya dahulu yang mengutamakan keharmonian, kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain?
Ini kerana mereka cepat benar lupa diri sehingga bahasa dan budaya tidak lagi dipeduli. Pendekatan dalam mendepani cabaran politik pula lebih banyak memalukan dan merugikan bangsa sendiri. Ini berpunca daripada anggapan bahawa perjuangan bangsa kononnya bercanggah dengan agama; sikap memuja apa sahaja bentuk budaya dan ‘sampah’ dari dunia Barat serta terlalu bertolak-ansur dengan kaum lain.
Akibatnya, akar jati diri orang Melayu sudah banyak terpungkas dari akal budi mereka selama ini. Melayu jadi gila wang dan gila kuasa hingga tidak peduli lagi soal jati diri dan akal budi. Tidak hairanlah gejala tumbuk rusuk atau rasuah berleluasa menggadai maruah anak bangsa.
Perkembangan sosiopolitik yang tenat mutakhir ini adalah cerminan sosial nilai pemikiran sebahagian kaum Melayu termasuk pemimpinnya hari ini yang jika direnung hanya mengundang malu kepada keseluruhan bangsa Melayu.
Walhal, berbanding kaum lain mereka sudahlah menguasai sebahagian besar kek ekonomi tanah air ini malah berstrategi pula dalam percaturan politik demi kepentingan kaum mereka. Dalam masa yang sama, peka benar akan untung nasib bahasa, budaya dan pendidikan masing-masing hinggakan dalam beberapa segi begitu terserlah semangat perkaumannya.
Namun, orang Melayu pula sebaliknya. Sudahlah daya tahan bahasa dan budayanya sendiri makin luntur. Sifat amanah dan integriti juga kian menipis dalam sanubari. Budaya politik orang Melayu pula bagaikan berada di persimpangan dilema, bercelaru dan sudah tidak banyak menguntungkan Melayu.
Tsunami politik di Perak misalnya adalah bukti sejauhmana rendahnya akal budi sesetengah orang Melayu. Sedihnya, sikap biadap ‘memohon derhaka’ serta tindakan penyokong ekstrem parti politik merusuh di perkarangan istana bukannya datang dari orang lain melainkan kaum Melayu kita juga.
Namun, ini tidak menghairankan kerana mereka hanyalah ‘boneka’ kepada pihak tertentu yang buktinya dapat dilihat daripada jumlah kerusi yang diduduki serta tindakan biadap mahu mengheret pihak istana ke mahkamah.
Pimpinan Melayu dalam parti pembangkang dilihat lupa bahawa realiti politik yang sedang dicipta oleh mereka sebenarnya tidak banyak menjamin masa depan dan daya tahan kebudayaan dan kepentingan orang Melayu.
Tidakkah mereka juga sedar tindakan mengingkari titah Sultan samalah seperti mengajar kaum bukan Melayu untuk berbuat perkara yang sama malah mungkin dahsyat lagi di kemudian hari?
Dalam masa yang sama, adakah pemimpin UMNO sendiri telah benar-benar bermuhasabah diri seperti yang selalu didengar sejak usainya pilihan raya umum ke-12 lalu serta dalam konteks politik di Perak telah bersyukur dan bersedia merencana yang terbaik dan adil untuk orang Melayu?
Hakikatnya, semua orang Melayu baik pemimpin dan penyokong parti perlu rasional dan usahlah melampaui batas hingga merugikan bangsa sendiri.
Kembalilah kita menjiwai jati diri tinggi Melayu bukannya saling bercakar, meninggi suara dan melempar kata keji antara satu sama lain. Hanya apabila orang Melayu menunjukkan contoh teladan yang baik maka tutur kata serta cara bertindak komuniti dan pemimpin kaum lain dapat diasuh mengikut ‘acuan’ kehalusan akal budi bangsa kita.
TranungKite
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan