Polis hari ini merekod keterangan Naib Presiden PKR Tian Chua berhubung kenyataannya yang mendakwa insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah, sebagai sandiwara Umno.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata keterangan Tian Chua itu direkodkan petang ini di ibu negara oleh sepasukan polis kontinjen Johor bagi membantu siasatan mengenainya.

NONE"Selain Tian Chua, polis hari ini juga merakamkan keterangan dua editor Keadilan Daily dan wartawan dari the New Straits Times Press di ibu negara," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Baharu.

Mohd Mokhtar berkata polis sehingga semalam menerima 230 laporan dari seluruh negara oleh orang ramai dan badan bukan kerajaan berikutan rasa tidak puas hati mengenai kenyataan Tian Chua.

Beliau berkata laporan pertama diterima polis adalah pada 2 Mac lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah itu sudah merekodkan 153 percakapan sehingga kini dan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Pada 1 Mac lepas, Portal Keadilan Daily, antara lain, memetik Tian Chua sebagai berkata pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat, seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.

"Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing," anggota Parlimen Batu itu dilaporkan berkata.

- Bernama