ULASAN Saya merujuk kenyataan perdana menteri mengenai perkhidmatan awam, polis dan tentera. Antara lain, beliau mengumumkan (seperti dilaporkan sebuah harian berbahasa Melayu):

"Sementara itu, bagi jawatan kapten ATM dan penolong penguasa polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41 disetarakan dengan gred jawatan 44.
"Untuk jawatan mejar ATM dan timbalan penguasa polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41, diletakkan dengan gred jawatan baru iaitu 46A sementara kolonel ATM dan Penolong pesuruhjaya polis dalam kelompok gred jawatan 48 disetarakan dengan gred 52."
Pada masa lalu, entry point kemasukan graduan ke dalam perkhidmatan tentera dan polis ialah di pangkat kapten (tentera) dan penolong penguasa polis atau ASP (polis), jadi mereka ini diberi poin kemasukan mata gaji gred 41.
Mulai tahun 2010, perkhidmatan polis mensyaratkan ijazah sarjana muda bagi kemasukan ke pangkat inspektor.

Sebelum ini, kemasukan ke pangkat inspektor hanya perlukan SPM dan latihan di Kuala Kubu Baru sahaja.

Kemudian mulai Januari tahun ini, perkhidmatan tentera juga mengubah syarat kemasukan dengan meletakkan ijazah sarjana muda bagi lantikan ke pangkat leftenan muda (sebelum ini hanya memerlukan SPM dan latihan di Maktab Tentera Diraja).

Dengan perubahan ini, secara automatik beerti entry point bagi Leftenan Muda dan Inspektor ialah gred gaji 41, iaitu entry point lazim bagi kemasukan pemegang ijazah ke dalam perkhidmatan awam.
Sehubungan dengan itu, pelarasan yang sama akan berlaku kepada pangkat kapten dan ASP. Dahulunya pangkat kapten diberi gred gaji 41, dan sekarang oleh kerana gred gaji 41 telah diperuntukkan kepada Leftenan Muda, maka Kapten diberikan gred gaji 44. Pelarasan yang sama dipakai untuk jawatan ASP.
azlanOleh yang demikian, secara hakiki sebenarnya pengumuman yang dibuat oleh PM semalam hanyalah pengumuman terhadap sesuatu yang memang telah sedia digunapakai di dalam perkhidmatan polis dan tentera sejak 2010. Pada hakikatnya tidak ada apa-apa INSENTIF baru yang diperolehi oleh tentera dan polis.
Saya mencadangkan penjawat tertinggi dalam tentera dan polis juga menikmati gred gaji turus 1,2 dan 3 SPR dinikmati oleh KSN / KPPA dan sebahagian KSU sekarang memandangkan perkhidmatan tentera dan polis diurus oleh dua suruhanjaya tersendiri dan bukannya SPA. Penjawat tertinggi di bawah ketiga-tiga suruhanjaya sepatutnya layak kepada terma perkhidmatan yang selari.
Saya sebaliknya mencadangkan agar perkhidmatan tentera dan polis dikira sebagai perkhidmatan kritikal dan mendapat elaun perkhidmatan kritikal seperti doktor dan sebagainya kerana mereka mendedahkan diri kepada bahaya sepanjang masa bertugas.
Bagi menarik lebih banyak graduan yang berkualiti ke dalam perkhidmatan tentera dan polis, sepatutnya skim perkhidmatan graduan tentera dan polis disamakan dengan perkhidmatan PTD.
Sementara itu, bagi pegawai-pegawai lain-lain pangkat (leftenan muda dan inspektor ke bawah), mereka juga sepatutnya mendapat kelayakan elaun dan skim perumahan yang sama tarafnya dengan pegawai2 pelaksana di dalam perkhidmatan awam.
azlanMenyanyikan lagu lama untuk tentera dan polis jelas mempermainkan anggota tulang belakang keamanan negara.
Ia juga menunjukkan terputusnya perdana menteri dengan isu dan masalah yang dihadapi khususnya oleh anggota tentera.
Padahal, antara perubahan yang ditunggu-tunggu oleh anggota tentera antara lain penetapan band gaji yang sama iaitu band 5. Pada waktu ini, kor infantri ditetapkan dalam band 5 sedangkan kor yang lain sehingga band 5.
Begitu juga kenbaikan pangkat yang lambat sedangkan bagi kor MP, selepas rekrut terus diberikan pangkat LKPL.
Bagi anggota tentera yang bertukar ketukangan kepada ketukangan baru, mereka diturunkan umpamanya dari ketukangan 4 kepada ketukangan 3.

Begitu juga pangkat, diturunkan dari KPL kepada LKPL. Mereka mencadangkan anggota yang menukar ketukangan dikekalkan dalam band dan pangkat yang sama.
Banyak lagi cadangan penambah baikan skim perkhidmatan tentera yang ditunggu oleh anggota tetapi langsung tidak disentuh oleh PM.

Berdasarkan jadual perbandingan skim asal dan skim baru yang telah diguna pakai sejak beberapa tahun lalu menunjukkan apa yang diumumkan perdana menteri adalah perkara lama.


DATUK HUSAM MUSA naib presiden PAS dan exco kanan kerajaan Kelantan. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.