Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

29.3.13

Didakwa cuba cetus huru-hara

ADIWIJAYA Abdullah (kiri) dan Setiausaha Agung PSSGM, Suleh Udin menunjukkan gambar warga asing yang dipercayai menyertai aktiviti pembangkang serta risalah cubaan mencetuskan huru-hara semasa PRU-13 pada sidang akhbar di di tapak Wisma Gayong Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN 
 
KUALA LUMPUR 29 Mac - Parti pembangkang dikesan cuba mencetuskan suasana huru-hara semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan tersebarnya risalah mengandungi cara untuk mewujudkan ketegangan di pusat-pusat mengundi di kawasan tertentu.

Risalah itu didakwa menyebut, peringkat pertama yang disarankan untuk dilakukan ialah mewujudkan kekecohan di pusat mengundi supaya orang ramai kecewa dan kurang senang dengan kelemahan pengurusan, mewujudkan kumpulan pengundi yang melakukan kekecohan dan memprotes supaya wujud rasa benci pengundi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peringkat kedua pula menurut risalah yang tertera lambang parti pembangkang itu melibatkan pasukan media atas talian yang akan mewujudkan twitter khas memperlekeh SPR. 

Menurut risalah itu, sasaran kekecohan ialah di kawasan Parlimen Gombak, Lembah Pantai, Permatang Pauh, Setiawangsa, Wangsa Maju, Bagan Serai, Bukit Katil, Muar, Pandan dan Sabak Bernam.

Strategi kotor itu didedahkan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah dalam sidang akhbar di tapak Wisma Gayong Malaysia, di sini hari ini.

Adiwijaya berkata, maklumat yang diterima PSSGM itu agak mengejutkan dan sangat berbahaya kerana membabitkan keselamatan dan kestabilan negara.

"Kami terkejut apabila terdapat manual pilihan raya pembangkang yang mengandungi saranan untuk menimbulkan kekecohan semasa PRU-13 kelak.

"Kemungkinan besar mereka mahu mencipta suasana tidak aman tersebut agar tindakan dapat diambil terhadap mereka. Sekiranya pihak pembangkang tewas, ini dilihat membolehkan mereka menuduh bahawa PRU-13 dijalankan secara tidak adil," katanya.

Dalam sidang akhbar tersebut, Adiwijaya menunjukkan salinan risalah dengan kepala surat menggunakan lambang parti pembangkang bertarikh 15 Disember 2012 yang meminta ahli-ahli dan petugas PKR melakukan kekecohan di pusat mengundi di 10 kawasan Parlimen.
PSSGM, sehubungan itu menggesa agar SPR menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap dakwaan berkenaan.

"Pihak berkuasa juga diharap dapat memberikan jaminan dan memastikan keselamatan orang ramai semasa pilihan raya nanti khususnya di tempat pembuangan undi," katanya.

Ditanya penafian Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli semalam mengenai penglibatan pakatan pembangkang dalam hal itu, beliau menegaskan, PKR perlu membuat penafian perkara tersebut secara terbuka.

"Mereka perlu membuat sidang akhbar dan meminta supaya ahli-ahli mereka tidak melakukan sebarang kekecohan semasa PRU-13 nanti," katanya.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia menghubungi Rafizi bagi mendapat penjelasan lanjut berhubung dakwaan tersebut melalui telefon dan khidmat pesanan ringkas gagal.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: