Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian sagu hati 'one-off' kepada kakitangan Telekom Malaysia sebanyak RM500 setiap orang bagi menghargai sumbangan mereka terhadap syarikat telekomunikasi itu.

Katanya, pemberian yang dianggap sebagai "hadiah istimewa" kepada kakitangan tetap, kontrak atau yang dipinjamkan itu akan dibayar sebelum cuti persekolahan yang bermula pada 25 Mac ini.

Telekom Malaysia mempunyai kakitangan seramai lebih 26,000 orang di seluruh negara.

"Saya mengumumkan atas penghargaan, bakti, sumbangan, komitmen dan kesetiaan warga Telekom Malaysia, maka pengurusan Telekom Malaysia setuju untuk menganugerahkan pada setiap pekerja tetap, kontrak atau leasing bayaran one-off RM500 seorang, sebagai hadiah istimewa.

"Ini satu penganugerahan khas Telekom Malaysia. Dengan ini saya doa dengan sumbangan ini jelas menunjukkan bahawa kemakmuran negara kita, kita kongsi bersama," kata Najib yang disambut sorak gemuruh oleh pekerja Telekom Malaysia di ibu negara petang ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Najib dalam satu majlis ramah mesra beliau dengan kakitangan TM di ibu pejabat syarikat di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, beliau turut mengumumkan buah tangan kepada kakitangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam bentuk bonus tambahan sebulan gaji bagi tahun 2012.