Pengkaji DAP Ong Kian Ming hari ini mendakwa menemui rekod 57 orang pengundi meragukan di Kampung Labian, Lahad Datu – kawasan yang dicerobohi kumpulan bersenjata Sulu dari Filipina baru-baru ini.

Beliau mengesyaki bahawa 57 nama tersebut adalah sebahagian daripada warga Filipina berketurunan Sulu yang didaftarkan secara tidak sah di bawah Projek IC.

NONE“Kita boleh lihat dalam lokaliti Kampung Tanjung Labian, yang merupakan satu daripada Kampung yang terjejas akibat pencerobohan di Lahad Datu.

“Ini adalah contoh bagaimana kita dapat lihat apa yang kita buat dalam Projek IC mempunyai kesan di kemudian hari,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.

Jumlah 57 orang itu merupakan sebahagian daripada kira-kira 60,000 pemilih meragukan di Sabah dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi suku pertama tahun 2012, katanya.

Beliau mendapati demikian selepas meneliti rekod pengundi bermasalah yang didedahkan dalam siasatan Suruhanjaya Diraja berhubung pendatang asing Sabah pada 16 Januari lalu.

Maklumat itu, dakwa Ong, diperolehi daripada keterangan seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mendedahkan senarai yang mengandungi 130,459 pengundi "bermasalah" dengan rekod tidak lengkap atau telah dihapuskan.

“Saya teliti semua IC lama dalam senarai pertama dan kedua, dan daripada 527 pengundi (Kg Tanjung Labian), kira-kira 57 daripadanya terdiri daripada IC yang bermasalah

Menurutnya lagi, 57 pemilih itu juga didaftarkan sebagai Bajau sedangkan Kampung Labian dikenali sebagai perkampungan Orang Sulu.

Menurutnya, senarai 130,459 pengundi itu terbahagi kepada tiga bahagian melibatkan rekod dari tahun 1979 hingga 1996.

Katanya, senarai pertama mengandungi 51,300 pemegang kad pengenalan lama dengan rekod meragukan bagi tempoh Mac 1979 sehingga Julai 1984.

Senarai kedua pula mengandungi 62,500 lagi dari tahun 1984 sehingga 1988, manakala 16,699 lagi melibatkan kad pengenalan yang telah dibatalkan pada tahun 1996, katanya.

Tambahnya, 20 daripada 16,669 nama yang terdapat dalam senarai kad pengenalan yang telah dihapuskan juga masih terdapat dalam daftar pemilih bagi tempoh sama.

Ong berkata, Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia (Merap) yang diketuainya memeriksa senarai pertama dan kedua dan mendapati sebanyak 60,653 nama berkenaan tersenarai sebagai pemilih suku pertama tahun 2012.
"Bagaimana pemilih ini boleh kekal dalam daftar pemilih sehingga suku keempat 2012 jika IC mereka telah dibatalkan pada tahun 1996.

"Siapakah yang bertanggung jawab mendaftarkan semua pemilih dengan IC yang telah dibatalkan ini?,” soalnya.