Sikap terbuka rakyat di Sarawak banyak membantu memudahkan usaha melaksanakan pembangunan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, di Kuching malam ini.

Katanya, melalui sikap sedemikian, beliau telah memperolehi sokongan yang padu untuk melaksanakan dasar politik pembangunan beliau apabila mengambilalih tampuk kepimpinan negeri ini 32 tahun lepas.

Abdul Taib berkata semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan penduduk berbilang kaum di negeri ini sentiasa ditekankan bagi memastikan tiada siapapun ketinggalan dalam mengecapi pembangunan.

Beliau menyatakan demikian dalam wawancara program "Bicara Rakyat" yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dari Kuching.

"Itu (perpaduan di kalangan pelbagai kaum) merupakan satu keuntungan bagi saya. Satu faktor yang menyebabkan saya berjaya (untuk merangka pelan pembangunan Sarawak) dengan lebih mudah daripada yang saya jangka pada mula-mulanya (menjadi Ketua Menteri)," katanya.

Menurutnya, fokus pembangunan awal beliau adalah untuk memastikan kesemua penduduk di Sarawak dapat dihubungi biarpun melalui infrastruktur jalan yang tidak begitu baik.

Abdul Taib berkata Sarawak kini sedang menjalani proses gelombang kedua pembangunan yang bertujuan membuka lebih banyak lagi peluang kepada rakyat di negeri ini untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Menurutnya pembangunan gelombang kedua ini melibatkan pelaksanaan program Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dengan mengeksploitasi potensi tenaga diperbaharui yang ada di Sarawak seperti hidroelektrik untuk menarik pelaburan dalam industri berteknologi tinggi.

Industri-industri ini, katanya, akan mewujudkan bidang-bidang pekerjaan baharu di negeri Sarawak yang lebih menekankan kemahiran teknikal.

Sehubungan itu, Taib berkata, kerajaan negeri sekarang telah banyak melaksanakan program untuk memupuk minat di kalangan generasi muda untuk mengambil jurusan teknikal sebagai kerjaya mereka.

"Daripada 800,000 ribu peluang pekerjaan (yang dijangkakan melalui pelaksanaan SCORE), kira-kira 70 peratus adalah dalam bidang teknikal," katanya.

- Bernama