Pencerobohan Lahad Datu yang telah berlangsung sejak 12 Febuari lalu telah mengorbankan nyawa anggota keselamatan seramai 9 orang dan 57 orang di pihak penceroboh. Anak muda merakamkan jutaan penghargaan kepada anggota keselamatan yang terlibat secara langsung dalam memastikan keamanan negeri ini khususnya di Lahad Datu.

Bagaimanapun, Gabungan Ngo Menuntut Hak Rakyat Sabah (GEGAR) mendapat maklumat berhubung tindakan pihak tertentu yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat Sabah yang dipercayai untuk menimbulkan ketegangan antara kaum. Perkara ini pada hemat anak muda adalah suatu perkembangan yang tidak sihat bahkan akan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk.

Selain itu, melihat kepada laporan media yang disiarkan oleh media tempatan dan antarabangsa, GEGAR mendapati terdapat beberapa percanggahan mengenai fakta yang didedahkan. Sebagai contohnya media di Filipina ada melaporkan mengenai tindakan keterlaluan pihak keselamatan Malaysia terhadap masyarakat Sulu di Sabah, namun laporan ini bercanggah dengan laporan media tempatan yang menunjukkan pihak keselamatan Malaysia menjalankan tugas dengan baik tanpa sebarang penganiayaan terhadap masyarakat Sulu.

Kekeliruan ini seterusnya boleh menyebabkan rakyat terpengaruh dengan khabar angin yang tidak tepat. Oleh itu, perbezaan laporan ini perlu sampai kepada rakyat agar rakyat sendiri dapat menilai keabsahan berita yang disiarkan.

Justeru, pendirian anak muda GEGAR ialah:

(1) Menyeru semua pihak daripada pelbagai latar belakang agama, kaum dan bangsa untuk terus mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negeri ini bagi menjaga keharmonian yang telah lama kita kecapi. Segala fitnah yang dilemparkan bertujuan mengapi-apikan permusuhan antara kaum perlu ditangkis dan dikaji kesahihannya terlebih dahulu. Kami di peringkat anak muda sangat cintakan perpaduan seperti mana yang telah kita kecapi selama ini.

(2) Menyeru kepada seluruh masyarakat Sabah agar tidak berasa takut untuk mempertahankan negeri kita daripada sebarang bentuk pencerobohan. Ayuh kita pertahankan kedaulatan negeri dan negara kita daripada pencerobohan pihak luar. ‘Kita bukan memerangi orang sulu, sebaliknya menolak pencerobohan'.
 (3) Menyeru media tempatan melaporkan perkembangan sebenar mengenai isu Lahad Datu dengan turut memetik kenyataan media asing seperti media dari negara jiran iaitu Filipina. Hal ini penting bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran menyeluruh mengenai isu yang sedang berlaku.

(4) Menyeru agar rakyat seluruhnya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan bumi Sabah daripada sebarang ancaman keselamatan.

Justeru, GEGAR melancarkan sebuah Gerakan Pemantau Media yang akan menyelia perkembangan berita yang disampaikan oleh media tempatan mahupun antarabangsa mengenai isu pencerobohan Lahad Datu. Inisiatif ini dilakukan bagi membolehkan Masyarakat Sabah dapat membuat penilaian secara menyeluruh mengenai isu yang berlaku. Melalui Gerakan Pemantau Media ini juga, masyarakat awam boleh memastikan maklumat yang diterima adalah berasaskan sumber yang sahih dan bukan sekadar khabar angin.

Oleh itu, GEGAR mengumumkan satu talian "hotline" bagi memudahkan masyarakat berhubung secara terus dengan pihak Gerakan Pemantau Media. Orang ramai boleh menghubungi talian hotline 014-875-0414 atau 013-546-7541 untuk mendapatkan maklumat terkini atau melaporkan sebarang perkembangan berhubung isu pencerobohan.

GEGAR mengharapkan inisiatif ini akan dapat menjadi agen perantara maklumat antara masyarakat dan pihak keselamatan. Selain menjadi sumber maklumat, talian Hotline ini juga boleh dihubungi untuk aduan sebarang masalah berkaitan dengan perpaduan dan keharmonian masyarakat awam khususnya dalam jangka waktu pencerobohan Lahad Datu.

Justeru, anak muda berharap dengan sedikit bantuan dan seruan ini akan dapat membantu masyarakat di negeri ini. Anak muda sekali lagi merakamkan jutaan penghargaan kepada para anggota keselamatan yang telah berhempas pulas menjaga keselamatan negeri ini.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.