Ahli jawatankuasa pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah hanya mampu ketawa apabila diminta mengulas dakwaan pegawai perdana menteri bahawa pertubuhan itu cuba membawa masuk “anasir-anasir Barat” ke negara ini.

NONEBeliau menganggap dakwaan berkenaan sebagai satu jenaka kerana menurutnya, semua orang sedia maklum bahawa BERSIH membawa menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Tuntutan itu pula disokong rakyat Malaysia tanpa melibatkan pihak luar negara, katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini.

"Saya ingin nyatakan sekali lagi bahawa BERSIH disokong sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

"Ini kerana apabila kita adakan himpunan, bukannya orang luar yang datang dan menyertai himpunan kita," katanya.

Beliau diminta mengulas dakwaan seorang pegawai kanan Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu lalu yang memburuk-burukkan gerakan itu dalam satu sesi taklimat selepas tayangan filem 'Tanda Putera' di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Mengulas lanjut, Maria berkata beliau percaya mahasiswa UIA tidak akan terpengaruh dengan dakwaan “tidak berasas” yang dibuat pegawai itu.

NONE"Orang ramai menilai kita berdasarkan kepada tindak tanduk kita. Tindakan dan pendirian kita selama ini amat dekat dengan hati rakyat Malaysia," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa Najib menghentikan tayangan tertutup seperti itu perdana menteri dilihat mempersetujui tindakan berkenaan sekiranya hanya berdiam diri.

"Saya jujurnya berharap dia akan menghentikan tayangan filem ini.

"Jika mahu ditayangkan, tayangkan kepada seluruh rakyat Malaysia agar ia boleh dinilai orang ramai," katanya.

Seorang pemimpin siswa yang menghadiri majlis tayangan itu memberitahu Malaysiakini bahawa pegawai perdana menteri itu mendakwa terdapat “anasir-anasir Barat yang masuk ke dalam Malaysia untuk memburukkan Malaysia macam BERSIH dan Malaysiakini”.

Pengerusi kumpulan pelajar We Unite For Islam (Wufi) UIA, Mohd Najib Abdul Rahim berkata, orang kanan perdana menteri itu didakwa turut menanamkan sentimen perkauman serta kebencian kepada pembangkang semasa sesi ulasan filem berkenaan selepas itu.

Mengulas kandungan filem itu, Mohd Najib secara peribadi berkata, babak dalam 20 minit pertama yang menyentuh insiden 13 Mei itu akan memberikan perasaan kurang senang jika ditayang pada umum.

Malaysiakini hari ini berusaha mendapatkan reaksi orang kanan perdana menteri itu namun tidak berhasil.