Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

11.9.13

Semua orang Pas ulama, kata Nik Aziz

 Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menegaskan, beliau tidak pernah meminta ahli Pas untuk tidak memilih bukan ulama untuk menjawat jawatan timbalan presiden Pas.

“Akhbar tulis tu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam Pas dipanggil ulama.

“Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun profesional. Sengaja ada pihak hendak sebut dua nama, sedangkan sebenarnya satu sahaja,” kata Nik Aziz dalam reaksi terbarunya berhubung isu itu.

Sebelum ini, Nik Aziz dalam satu kenyataan mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal dengan jawatan itu sementara jawatan timbalan presiden boleh dipertandingkan.

“Saya berdoa dan minta Haji Hadi yang banyak pengalaman dan ilmu, kalau boleh, biar dia teruskan jadi presiden, tetapi timbalan, atas undi, dan tentulah saya nak orang ulama jadi timbalan," katanya sebelum ini.

“Semua orang Pas ulama, sedikit atau banyak itu yang membezakan, mana boleh orang Pas jahil, semua orang Pas ulama belaka cuma taraf ilmu yang ada pada dia sedikit sebanyak itu atas dia, dia mengaji banyak mana, cebur diri dalam masyarakat, berpengalaman dan sebagainya,” katanya lagi.

Kenyataan Nik Aziz berhubung jawatan timbalan presiden itu bagaimanapun menimbulkan pertikaian awam sama ada pemimpin Pas itu mahu memberikan isyarat untuk menyingkirkan Mohamad Sabu.

Pakar Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan sebelum ini berkata, kenyataan bekas Menteri Besar Kelantan itu memang ditujukan kepada orang nombor dua parti itu.

“Setelah satu penggal beliau memegang jawatan itu, banyak perkara yang memudaratkan Pas berbanding perkara yang memberi manfaat.

“Saya melihat ini serampang dua mata Tok Guru, pertama untuk menghindarkan Mat Sabu, kedua, untuk mempromosikan calon ulama," katanya kepada Sinar Harian.

Pas dijadualkan akan mengadakan Muktamar Agung ke-59 bermula 22 November depan dan bakal membuat pemilihan pucuk pimpinan baharu parti itu.

Pemilihan kali ini dijangka akan terus menyaksikan pertembungan kumpulan yang digelar 'Erdogan' -kumpulan pro Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim- dan kumpulan pro kepimpinan ulama.

Pada pemilihan tahun 2010, Mohamad Sabu berjaya menduduki kerusi timbalan presiden dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan bekas timbalan presiden sebelum ini, Nasharuddin Mat Isa dan bekas naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tiada ulasan: