Juliza Mohd Saad
KLUANG – Ketiadaan suami akibat dipenjara atas kesalahan dadah menjadi
‘tiket’ buat seorang isteri berlaku curang bersama kekasihnya.
Bagaimanapun tindakan wanita berusia 29 tahun itu terbongkar apabila
dia dicekup bersama teman lelaki di rumahnya di sini, semalam.
Kelakuan sumbang yang difahamkan berlaku sejak lebih sebulan lalu oleh
penduduk setempat yang pada mulanya menyangka lelaki terbabit adalah
suaminya.
Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Khalil Md Noor berkata, berdasarkan
laporan yang dibuat, satu pasukan anggota penguat kuasa Jaij melakukan
serbuan ke rumah wanita terbabit.
“Setibanya di rumah berkenaan, pihak kami mendapati keadaan rumahnya
gelap dan hanya lampu di bahagian dapur dipasang. Sebuah motosikal yang
digunakan lelaki tersebut diletakkan di bahagian belakang rumah kononnya
untuk mengaburi orang ramai agar tidak mengetahui kehadiran lelaki
berkenaan.
“Selepas disiasat, pihak kami mendapati ada penghuni di rumah tersebut
kerana kipas angin di ruang tamu terpasang selain terdapat kelibat
pergerakan manusia menerusi cermin tingkap,” katanya.
Mohd Khalil berkata, selepas mengetuk pintu rumah berkenaan, pihaknya
terpaksa menunggu hampir 20 minit sebelum seorang wanita bersama seorang
lelaki berusia 29 tahun membuka pintu.
Ketika soal siasat dijalankan katanya, pasangan berkenaan menyatakan bahawa mereka adalah pasangan suami isteri yang sah.
“Namun hasil pemeriksaan dijalankan, pasangan terbabit gagal
menunjukkan mereka adalah pasangan suami isteri sebelum mereka mengaku
merancang untuk bernikah selepas wanita berkenaan bercerai.
“Apa yang lebih mengejutkan adalah anak perempuan wanita tersebut yang
berusia empat tahun turut tidak mempunyai sah taraf melalui pemeriksaan
terhadap surat beranak milik kanak-kanak berkenaan,” katanya kepada
Sinar Harian.
Menurutnya, pasangan itu disiasat di bawah seksyen Seksyen 27
(1)(a)&(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan boleh
dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau
kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Kami juga akan membuat siasatan lanjut ke atas kanak-kanak tersebut bagi menentukan kedudukannya yang sebenar,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan