dikemaskini Dalam satu lagi kejadian keganasan politik, sekurang-kurangnya seorang penyokong Pakatan Rakyat cedera di satu majlis ceramah di Bukit Katil, Melaka malam tadi, selepas ia diganggu samseng yang dikatakan dari Umno.
Gambar yang disiarkan oleh penyokong Pakatan di Facebook
menunjukkan seorang lelaki berdarah di kepalanya selepas dikatakan terkena batu.
Kenyataan yang dikeluarkan PAS Kawasan Bukit Katil mengenalpasti mangsa sebagai Abdul Ghani Buang, 44, seorang penduduk Kampung Bukit Lintang.
Kenyataan itu memetik Ghani sebagai berkata beliau nampak botol dibaling dan tidak sempat mengelaknya dan botol itu mengenainya.
Beliau juga menyuara rasa kesalnya kerana mendakwa pihak polis tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan keganasan tersebut.
Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook yang berucap semasa ceramah tersebut berkata, pihak Umno turut mengadakan satu ceramah di tempat yang sama.
Loke menulis dalam twitter bahawa beliau baru tiba di Melaka untuk mendengar ceramah PKR Bukit Katil dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ribuan orang berada di sana.
Menurutnya, Umno mengadakan ceramah berhampiran di situ yang dihadiri oleh hanya ratusan orang.
Beliau menyifatkannya sebagai perbuatan mereka yang takut kalah (pilihan raya umum).
Namun, tegasnya, kebangkitan rakyat untuk menumbangkan rejim BN akan berterusan dan mereka tidak akan tunduk kepada ugutan Umno.
Cermin bas kempen PKR juga didakwa telah dipecahkan semasa kejadian.
Ia bukan kali pertama bas kempen tersebut telah dilempar batu. Ia mengalami kejadian yang sama di beberapa lokasi lain sebelum ini, termasuk di Perak, Johor dan Kelantan.
Polis anti-rusuhan datang untuk memulihkan keadaan, tetapi mereka mengalami kesukaran untuk mengawal penceroboh tersebut.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dijangka mengadakan satu sidang akhbar pagi ini di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya berhubung kejadian tersebut
Ahad lalu, satu lagi ceramah diganggu oleh penyokong BN di Teluk Intan, Perak.
Ahli Parlimen, M Manogaran terpaksa dibawa polis beredar dari ceramah DAP itu selepas sekumpulan kira-kira 40 penceroboh yang membawa bendera BN datang mengganggu dan memaki hamun pemimpin Pakatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan