Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

3.3.13

BN Taiping lapor polis dakwaan 'sandiwara' Lahad Datu

 
BN Taiping hari ini membuat laporan polis terhadap dua pemimpin parti pembangkang berhubung kenyataan insiden pencerobohan di Lahad Datu yang didakwanya sebagai sandiwara dan konspirasi terancang kerajaan BN dan Umno.

Laporan itu dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Taiping di sini pada pukul 10.30 pagi ini oleh wakil BN Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Roland Chia.

Ahmad Shalimin, yang juga Ketua Umno Bahagian Taiping, diiringi oleh kira-kira 100 anggota parti komponen BN semasa membuat laporan itu.

Beliau berkata laporan itu dibuat supaya pihak polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan tegas berhubung kenyataan yang disifatkannya sebagai fitnah dan hasutan yang boleh menggugat keselamatan negara.

Pada Jumaat lepas, Tian Chua telah dilaporkan memberitahu KeadilanDaily, sebuah portal dalam talian, bahawa insiden tembakan di Lahad Datu dipercayai merupakan 'konspirasi terancang kerajaan Umno' untuk mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Di Putatan, Sabah pula Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussein menyelar kenyataan Tian Chua itu dan menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

Beliau menggambarkan pihak pembangkang langsung tidak menghormati dan menghargai jasa pengorbanan anggota polis yang terkorban dalam insiden pencerobohan bersenjata itu.

"Inilah kualiti pembangkang. Mereka hanya tahu membangkang walaupun membabitkan soal keselamatan dan keamanan Negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Titik Sentuhan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, dekat sini.

Di Johor Bahru,  Anggota Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata dakwaan Tian Chua merupakan bukti jelas pembangkang memperlekehkan pengorbanan anggota keselamatan negara.

"Di dalam keghairahan mereka untuk meraih undi, pembangkang akan bercakap apa sahaja yang tidak masuk akal. Mereka akan mempergunakan insiden tragik untuk mendapatkan keuntungan politik," katanya kepada pemberita selepas majlis Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) Parlimen Pulai di sini.

Di Kota Tinggi, Johor, anggota exco negeri Asiah Md Ariff berkata dakwaan Tian Chua itu sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak berhemah selain mengambil kesempatan untuk meraih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

- Bernama

Tiada ulasan: