Seorang lelaki warga Bangladesh meninggalkan sayur yang dijual sebelum menyorok hampir sejam di dalam longkang berlumpur sedalam 1.5 meter bagi mengelak ditahan ketika serbuan Jabatan Imigresen Melaka di sebuah tapak pasar malam di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di Melaka.
  
Pengarahnya Kamalludin Ismail berkata peniaga sayur berusia 36 tahun itu sedang leka melayan pelanggan di lokasi yang juga dikenali 'Pasar Malam Bangladesh' sebelum melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota Imigresen kira-kira jam 5 petang semalam.
  
"Lelaki itu menyorok dalam longkang yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak pasar malam tersebut sewaktu hujan lebat, namun berjaya dikesan pegawai Imigresen yang mengadakan pemeriksaan di situ," katanya dalam sidang akhbar di Melaka semalam.
  
Beliau berkata selain lelaki itu, lima lagi lelaki rakan senegaranya turut ditahan kerana menyalah guna pas dengan menjalankan perniagaan menjual sayur di pasar malam itu.
  
Katanya pihaknya turut menahan sembilan pelanggan terdiri daripada pendatang asing tanpa izin di tapak pasar malam yang beroperasi dari jam 4 petang hingga 9 malam setiap Ahad itu kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
  
Terdahulu, Kamalludin berkata 35 lagi pendatang asing tanpa izin ditahan dalam serbuan di Melaka Sentral pada 11 pagi hingga 1 petang hari sama atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk tinggal lebih masa.

Beliau berkata dalam pemeriksaan tersebut, pegawai Imigresen terpaksa bergelut kira-kira 10 minit dengan seorang lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun yang berada dalam keadaan mabuk dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah apabila cuba ditahan pihaknya.
  
Katanya dalam pemeriksaan sama, seorang lelaki warga Palestin berusia 28 tahun yang bekerja sebagai tukang masak mengaku sebagai pelajar bagi mengelak ditahan namun siasatan lanjut mendapati dia tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
  
Beliau berkata secara keseluruhan, 50 pendatang asing tanpa izin berusia 19 hingga 42 tahun ditahan melibatkan 17 warga Indonesia, Bangladesh (sembilan), Myanmar (lapan), Nepal (15) dan Palestin (satu).
  
- Bernama