Posted by
Mus Sabahdaily
| Saturday, March 30, 2013 |
Dengan
tempoh pembubaran automatik Parlimen Malaysia hanya berbaki kurang
lebih sebulan lagi, rata-rata rakyat Malaysia dilihat semakin ‘galak'
bercakap tentang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang akan dipanggil
pada bila-bila masa.
Dari lobi parlimen, pejabat kerajaan, kampus universiti, sekolah
sehinggalah ke warung kopi, dari Perlis sehinggalah ke Sabah, topik
perbualan utama rakyat jelata mutakhir ini lebih menjurus kepada
‘cakap-cakap PRU13'.
Apa jua isu, tragedi dan kejadian yang berlaku dalam negara ketika ini
akan diolah, dianalisa dan dikomen oleh pelbagai pihak berdasarkan
aspirasi politik masing-masing untuk mendapatkan laba politik sebagai
persediaan menghadapi PRU.
Tidak kurang juga para penganalisis politik, sama ada yang bertauliah di
universiti atau yang ‘tak bertauliah' di warung-warung kopi yang tidak
melepaskan peluang memberikan komentar dan pandangan tentang tarikh
PRU13 dan trend pengundian berdasarkan hasil kajian dan kecenderungan
politik masing-masing.
Entah kenapa kedatangan PRU begitu mengujakan. Manakan tidak, kesempatan
untuk menunaikan hak mengundi ini hanya datang sekali setiap lima
tahun. Sudah pasti ia amat dinanti-nantikan oleh rakyat jelata
terutamanya pengundi-pengundi baru.
Menurut statistik terkini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), jumlah pengundi
berdaftar yang layak mengundi pada PRU13 adalah seramai 13.1 juta orang
dengan 2.9 juta daripadanya pengundi baru.
Pastinya, apa jua pilihan yang dibuat oleh 13.1 juta pengundi berdaftar
ini akan memberi kesan kepada keseluruhan 28 juta rakyat Malaysia.
Meskipun tarikh pembubaran parlimen masih menjadi teka-teki,
bendera-bendera parti politik yang bakal bertanding sudah sedia
terpasang di pokok dan jalan di seluruh pelosok negara.
Media cetak dan elektronik tidak terlepas peluang menghiasi muka-muka
hadapan dan berita utama mereka dengan berita politik dan pilihan raya.
PRU umpama pesta dan perayaan besar yang bakal disambut oleh semua
rakyat Malaysia khususnya dalam menunaikan hak politik sebagai rakyat
Malaysia sebagaimana yang dijamin oleh perlembagaan.
Perkara 119 Perlembagaan Malaysia memperuntukkan syarat-syarat menjadi
pengundi sekaligus memberikan jaminan kepada rakyat Malaysia untuk
menunaikan hak memilih pemimpin.
Perlembagaan tidak menyebut parti atau pihak mana yang perlu dipilih.
Justeru, siapa atau pihak mana jua yang dipilih oleh rakyat Malaysia
sebagai pemimpin adalah tidak bercanggah dengan perlembagaan.
Sesungguhnya hak dan kebebasan memilih pemimpin ini adalah suatu cabang
daripada hak asasi manusia yang perlu dihormati dan dilindungi.
Namun, sejauh mana kebebasan rakyat memilih pemimpin adalah suatu yang
memerlukan perbahasan lanjut kerana ia berkait dengan mentaliti dan
trend pilihan raya negara.
Sebagai contoh, di Malaysia, terdapat kecenderungan untuk menyamakan
parti politik dan kerajaan atau negara hanya kerana parti politik itu
menguasai kerajaan di dalam PRU sebelumnya.
Ia menyebabkan mentaliti rakyat menganggap pertembungan di dalam pilihan
raya antara kerajaan dan pembangkang, bukannya parti politik melawan
parti politik.
Untuk memahami dengan lebih jelas, saya ingin ambil contoh suasana di
peringkat DUN Selangor dan Parlimen di peringkat Persekutuan
memandangkan pemimpin di kedua-kedua peringkat kerajaan tersebut
diwakili oleh gabungan parti politik yang berbeza.
Di Selangor, perlu difahami bahawa Pakatan adalah parti politik dan Selangor adalah negeri.
Meskipun pemimpin Pakatan dipilih oleh rakyat Selangor untuk menjadi
peneraju kerajaan negeri dalam pilihan raya yang lalu, menjatuhkan
Pakatan dalam pilihan tidak bererti menjatuhkan negeri Selangor,
menghuru-harakan atau mengancam keselamatan negeri.
Pihak yang menentang Pakatan dalam pilihan raya adalah musuh politiknya
sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai musuh negeri Selangor.
Musuh Pakatan dan musuh Selangor dua perkara berbeza. Maka, menumbangkan
Pakatan dan meruntuhkan negeri Selangor juga dua perkara berbeza.
Begitu juga dengan BN. BN adalah parti politik dan Malaysia adalah
negara. Keduanya entiti berbeza walau saling berkaitan. Meskipun
pemimpin utama BN juga pemimpin utama Malaysia, usaha menumbangkan
mereka tidak boleh dianggap sebagai usaha menjatuhkan atau
menghuru-harakan Malaysia.
Pihak yang menentang BN tidak boleh dilabel musuh negara kerana mereka
hanya musuh politik BN. Bahkan persaingan politik termasuk menentang BN
melalui pilihan raya ini dibenarkan oleh undang-undang.
Ini kerana mengadakan pilihanraya adalah sebahagian daripada syarat asas
sesebuah negara demokrasi. Jika menentang BN suatu yang mengancam dan
membawa malapetaka kepada negara, sudah pasti PRU akan diharamkan.
Bukankah PRU itu membuka ruang untuk BN ditentang?
Apabila pilihan raya berlangsung, pertandingan ialah antara parti
politik melawan parti politik bukannya kerajaan melawan pembangkang.
Ini kerana, setelah Parlimen dan DUN dibubarkan, tempoh mandat untuk
kerajaan sedia ada telah tamat dan tiada pihak yang sepatutnya mendakwa
diri mereka sebagai kerajaan sehinggalah keputusan pilihan raya
berikutnya diumumkan.
Apabila DUN dan Parlimen dibubarkan, dengan sendirinya status ADUN dan
ahli Parlimen akan luput sekali gus jawatan menteri besar dan perdana
menteri yang disandang.
Dalam tempoh tersebut, suatu entiti berkecuali yang di sesetengah negara
dipanggil kerajaan sementara atau ‘caretaker government' seharusnya
diwujudkan untuk menguruskan pentadbiran negara.
Justeru, semasa tempoh berkempen seharusnya tiada pihak yang menggunakan
kelebihan atau kemudahan kerajaan di peringkat negeri mahupun
persekutuan sama ada dalam bentuk jawatan, kewangan, agensi dan
sebagainya untuk kepentingan parti politik masing-masing.
Sama ada menteri besar Selangor atau perdana menteri Malaysia,
kedua-duanya tidak boleh lagi menggunakan kelebihan jawatan tersebut
sebagaimana sebelumnya untuk berkempen sebaik sahaja DUN Selangor dan
Parlimen Malaysia dibubarkan.
Ia tidak adil kepada pihak yang tidak mempunyai kelebihan tersebut
bahkan bercanggah dengan asas demokrasi yang menitikberatkan
pertandingan pilihan raya berteraskan prinsip 'padang sama rata'.
Hakikatnya, pilihan raya adalah medan untuk rakyat jelata membuat
pilihan siapa yang mahu dipilih untuk berkhidmat kepada mereka untuk
tempoh lima tahun mendatang.
Rakyat membayar pelbagai bentuk cukai - seperti cukai tanah, cukai
pintu, cukai pendapatan, cukai jalan, duti import dan duti eksport -
yang sebahagian kutipan itu digunakan untuk membayar gaji pemimpin untuk
melaksanakan program pembangunan dan infrastruktur kemudahan semua
rakyat.
Tempoh lima tahun adalah tempoh untuk rakyat membuat penilaian sejauh
mana janji dan manifesto yang dibuat semasa pilihan raya ditepati.
Sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi pemimpin sedia ada,
undang-undang memberi hak dan kebebasan kepada rakyat melalui pilihan
raya untuk memilih mana-mana pemimpin lain yang mereka sukai.
Usaha mengubah pemimpin sedia ada, sama ada kepimpinan kerajaan Selangor
mahupun kerajaan persekutuan usaha yang dibenarkan undang-undang.
Tuntasnya, setiap rakyat perlu diberi kebebasan yang mutlak untuk
menentukan sendiri pemimpin pilihan mereka bersesuaian dengan falsafah
pilihan raya itu sendiri.
Namun, jika ada unsur paksaan, intimidasi, ancaman, ugutan dan tekanan -
sehingga menyebabkan kebebasan memilih itu dinafikan, barangkali
perkataan pilihan raya perlu ditukar kepada ‘paksaraya'.
Selamat mengundi kepada seluruh rakyat Malaysia!
Oleh Nisar Mohammad Ahmad