Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

4.2.10

Mengapa bicara ditutup - Ramlan

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Ramlan Abu Bakar mungkin seorang yang kurang dikenali.

Namun, bekas Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) itu pernah 'menggemparkan' negara apabila mengugut untuk berbogel sebagai membantah langkah kerajaan negeri Selangor menaikkan harga sewa rumah kos rendah pada 2008.

Dan hari ini, Ramlan sekali lagi mengejutkan pihak media apabila muncul di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini dengan mempersoalkan tindakan pihak pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan prosiding hari kedua perbicaraan pertuduhan liwat pemimpin pembangkang itu dilakukan secara tertutup.

"Saya tidak ditaja oleh mana-mana pihak untuk bercakap di sini.

"Mohd. Saiful (Bukhari) telah menunggu begitu lama untuk perbicaraan ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Ramlan seterusnya mempersoalkan tentang keadilan bagi pihak Mohd. Saiful Bukhari dan dilihat mencabar pihak polis dengan meninggikan suara mengkritik perjalanan perbicaraan tertutup itu.

Beliau turut mengedarkan risalah politik yang mengecam pentadbiran Anwar dan beberapa pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, risalah yang diedar tidak mempunyai kaitan dengan prosiding hari ini.

Ramlan yang disingkirkan oleh ahli-ahli Reformis pada Disember 2008 atas dakwaan pelbagai 'salah laku' kemudiannya dilihat mundar-mandir di sekitar mahkamah sambil berbual dengan rakan-rakannya yang merupakan ahli PKR.

Sementara itu, prosiding perbicaraan kes liwat tersebut pada sebelah pagi yang diadakan secara tertutup menimbulkan masalah kepada petugas media yang membuat liputan.

Ada di kalangan pemberita yang merungut kerana dilarang naik ke tingkat lima kompleks tersebut yang menempatkan Mahkamah Tinggi di mana prosiding itu berlangsung.

Bagaimanapun, sesetengah pemberita dan jurugambar tetap 'terlepas' dan sampai juga ke tingkat berkenaan.

Prosiding sebelah petang kes itu pula yang kembali dibuka kepada petugas media dan orang awam bagaimanapun tidak menghadapi sebarang masalah.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: