Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

22.2.10

Dr Asri, Sinar Harian disaman RM1.5 juta

Feb 22, 10 2:52pm

Datuk Nakhaie Ahmad, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM1.5 juta terhadap bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin dan tujuh yang lain termasuk editor dan wartawan akhbar Sinar Harian.

Nakhaie, 57, memfailkan saman dan pernyataan tuntutan itu melalui Tetuan Ibrahim & Fuaadah di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur pada 11.22 pagi ini.

Dalam saman itu, Nakhaie sebagai palntif menamakan Asri, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Akhbar Cabaran Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub, Sri Diah, Azmi Tarmizi, Lailatun Khalilah Nasir dan Siti Azila Alis sebagai defendan pertama hingga kelapan.

Hussamuddin merupakan penerbit akhbar Sinar Harian, manakala Sri Diah, Azmi dan Lailatun Khalilah adalah editor akhbar tersebut dan Siti Azila merupakan wartawannya.

Kumpulan Karangkraf merupakan pemilik akhbar Sinar Harian, dan syarikat Akhbar Cabaran pula adalah pencetak akhbar terbabit.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Nakhaie yang kini berkhidmat sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mendakwa Asri telah mengeluarkan tiga kenyataan fitnah terhadapnya dalam satu persidangan media pada 1 Nov tahun lepas dan dua artikel yang diterbitkan oleh Sinar Harian pada 2 dan 5 Nov tahun yang sama.

Katanya, kenyataan fitnah itu telah memberi gambaran buruk bahawa beliau adalah pihak yang menjadi dalang dalam isu memorandum menentang pelantikan Asri daripada menjadi Yang Dipertua (YDP) Yadim, dan ada penyelewengan berlaku di insitusi tersebut.

Nakhaie juga mendakwa akibat daripada tindakan fitnah daripada defendan pertama yang dikeluarkan akhbar terbabit, kewibawaan dan reputasinya kian merosot.

Plaintif menuntut ganti rugi fitnah berjumlah RM1.5 juta daripada semua defendan, ganti rugi teladan, ganti rugi punitif, faedah pada kadar 8 peratus setahun ke atas ganti rugi am, teladan dan punitif dari tarikh pernyataan tuntutan difailkan sehingga ke tarikh penghakiman.

Sementara itu dalam sidang media di luar mahkamah, Nakhaie memberitahu pemberita bahawa beliau telah beberapa kali memberi peluang kepada Asri untuk membuat permohonan maaf dan membetulkan kenyataan tetapi beliau gagal berbuat demikian.

- Bernama

Asri sedia ke mahkamah
Abdul Rahim Sabri
Feb 22, 10
5:19pm

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini bersedia memberi keterangan di mahkamah berhubung dakwaan bahawa beliau telah mengeluarkan tiga kenyataan fitnah terhadap bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad.

Dr Mohd Asri diminta mengulas tindakan Nakhaie, 57, memfailkan saman fitnah RM1.5 juta terhadapnya. Saman itu difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur pagi tadi, terhadap bekas mufti Perlis itu serta tujuh yang lain, termasuk editor dan wartawan akhbar Sinar Harian.

Kenyataan fitnah itu didakwa dibuat dalam satu persidangan media pada 1 November tahun lepas dan dua artikel yang diterbitkan oleh Sinar Harian pada 2 dan 5 November tahun yang sama.

"Saya sudah bersedia, kalau nak saman saya, kita jawablah di mahkamah. Saya serahkan perkara ini kepada peguam saya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Dalam saman itu, Nakhaie menamakan Asri, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Akhbar Cabaran Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub, Sri Diah, Azmi Tarmizi, Lailatun Khalilah Nasir dan Siti Azila Alis sebagai defendan.

Nakhaie juga adalah pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mendakwa kenyataan itu memberi gambaran buruk bahawa beliau adalah pihak yang menjadi dalang dalam isu memorandum menentang pelantikan Asri daripada menjadi Yang Dipertua (YDP) Yadim, dan ada penyelewengan berlaku di insitusi tersebut.

Nakhaie juga mendakwa akibat daripada tindakan defendan pertama (Dr Mohd Asri) yang dikeluarkan di akhbar terbabit, kewibawaan dan reputasinya kian merosot.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Asri berkata, beliau tidak menyebut nama Nakhaie sebagai dalang dalam isu memorandum tersebut.

MalaysiaKini


Tiada ulasan: