Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

4.2.10

Haramkan cahaya matahari!

Jimadie Shah Othman
Feb 3, 10
9:39am

Kisah tersebut tidak berakhir dengan kegembiraan. Yang baik tidak dibalas dengan kebaikan.

Yang jahat tidak dibalas dengan kejahatan, seperti parlimen Perancis - dalam karya tersebut - yang ditinggalkan dengan penuh kebingungan.

Orang kanan jarang sinonim dengan bidang sastera, seni dan kebudayaan. Di Malaysia, produk budaya dilihat sebagai propaganda berterusan golongan kiri dan Islam.

Tetapi, kapitalisme itu, kapitalisme yang dianggap hodoh itu, sekali ia menulis, ia menulis dengan sangat bagus.

Pada 1985, seorang ahli teori dan penganut faham liberalisme, Claude Frédéric Bastiat menulis tentang pengeluar lilin yang mendesak kerajaan mengharamkan cahaya matahari.

Petisyen yang dibentangkan dalam dewan perwakilan Perancis turut disokong oleh, antaranya, pengusaha sumbu, kayu api, tanglung dan damar.

Dalam Petition of the Candlemakers (Petisyen pembuat lilin) yang terkenal itu, Bastiat mengkritik sinis dasar perlindungan terhadap produk tempatan dengan alasan keterbukaan pasaran adalah sesuatu yang alami.



"Kami menuntut tuan-tuan meluluskan akta yang mewajibkan penutupan semua jendela, bidai, langsir, lubang hendap, cermin - ringkasnya semua bukaan yang menyebabkan cahaya masuk ke dalam rumah yang menjejaskan industri kami.

"Kami bangga mengatakan, kami telah menyumbang kepada negara. Oleh itu, negara ini mestilah bersyukur dengan tidak mengkhianati dan mengetepikan kami menghadapi pesaing yang tidak sepadan," fiksyen Bastiat dipetik.

Koleksi karya-karya satira liberal itu yang diterjemah dan diterbitkan kembali oleh sebuah penerbit kecil di Kuala Lumpur dengan judul Kisah Pembuat Lilin Melawan Matahari dan Lain-lain Jenaka Ekonomi Politik wajar direnung semula dalam keadaan gelombang propaganda sastera tidak lagi menarik dan membosankan.

Di Malaysia, karya-karya seninya, khususnya dalam bidang sastera diresapi ciri-ciri Islam dan kiri yang menebal. Antaranya apabila sastera Islam kini mendapat lonjakan populariti sejak sepuluh tahun lalu.

Sementara, kemunculan Angkatan Sasterawan 50 dengan slogannya "seni untuk masyarakat" meninggalkan kesan yang bukan kepalang sehingga sekarang.

Bagaimanapun, ironinya, penghasilan karya generasi baru ini, biarpun daripada aliran mana, kedua-duanya tidak indah dan membosankan. Ia kering dan penuh khutbah.

Kita runsing, setiap kali orang menulis karya berunsur Islam, dia tidak cuba menulisnya dengan bagus walaupun dalam Islam kita sentiasa diajar "Allah itu Maha Indah dan Ia sukakan keindahan".

Bagi saya, menulis cerpen atau sajak yang tidak menarik samalah maksudnya dengan memperlekehkan martabat keindahan yang diciptakan tuhan.

Saya juga rungsing mengenangkang period Revolusi Kebudayaan di China sepanjang era pemimpin tersohornya Mao Zedong pada 1949 hinggalah 1976.

Saya bimbang kita menuju ke arah itu. Dek kerana kerasnya propaganda itu, matilah keindahan dalam pentas opera China.

Bukan sahaja cerita, tetapi kesemua lambang kebudayaan seperti matahari, teratai, tasik dan gunung-ganang telah diganti dengan gambaran jentolak, traktor, bendera dan para soldadu.

Saya bimbang, kerana ghairahnya kita berdakwah atau dalam bahawa kirinya menggerakkan massa, orang melupakan aspek penting dalam sesebuah karya sastera itu, seni dan keindahan.

Ibn Khaldun dalam Mukaddimah menyokong aliran ini dan seniman sufisme seperti Amir Hamzah, Hamzah Fansuri, Hamka tidak pernah mengabaikan aspek itu.

Buat masa ini, salahkah kita belajar daripada kapitalis? Kerana ketika kita dihempap dengan lingkungan yang pasif, mereka telah pun bangun meraikan keindahan ciptaan tuhan - keindahan dunia fiksyen dan kreativiti.

Tiada ulasan: