Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

18.2.10

Membina disiplin cara Jepun

Universiti Malaya menyediakan kursus Rancangan Persediaan Khas ke Jepun bagi memberi peluang kepada pelajarnya menimba ilmu dan kemahiran berharga di Negara Matahari Terbit itu.


WAJAH-WAJAH ceria 108 pelajar Universiti Malaya yang berjaya menamatkan kursus Rancangan Persediaan Khas ke Jepun yang ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

BAYANGKAN jika anda perlu belajar subjek kimia, fizik dan matematik dalam bahasa Jepun. Hendak memahami lenggok bahasa dari negara pengeluar kereta Honda itupun sukar, inikan pula belajar subjek menggunakan bahasa tersebut. Membayangkannya pun boleh 'menggerunkan' pelajar.

Namun, perkara tersebut bukan satu masalah bagi pelajar Rancangan Persediaan Khas ke Jepun (RPKJ) dari Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Sebaliknya, ia adalah cabaran yang menyeronokkan!

Bagi seorang wakil pelajar RPKJ tahun dua, Hawa 'Alima Abdul Latiff, 20, minat terhadap kartun animasi Jepun, dia sanggup mencari maklumat mengenai bahasa tersebut di Internet dan mendalami maksudnya.

"Sejak di sekolah menengah, saya sudah terdedah dengan kartun dan cerita Jepun. Secara tidak langsung, minat ke arah bahasa tersebut mula timbul.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mula mencari kursus yang melibatkan bahasa Jepun. Ternyata pencarian saya berhasil apabila mendapat maklumat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya yang memohon kursus Kejuruteraan Jepun pada masa itu.

Disiplin

Gadis yang memiliki raut wajah persis personaliti popular TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain itu memberitahu, dia dipanggil untuk sesi temu duga dan akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran dalam kursus RPKJ.

Kursus RPKJ menawarkan lima subjek utama iaitu kimia, fizik, matematik, bahasa Jepun dan Inggeris.

Hawa merupakan salah seorang daripada 108 orang pelajar RPKJ kumpulan ke-27 UM yang berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah universiti di Jepun pada hujung Februari ini.

Hawa yang juga merupakan pelajar cemerlang RPKJ berjaya memperoleh Hadiah Buku Lembaga Tabung Amanah Sojitz pada majlis itu.


HAWA 'ALIMA ABDUL LATIF (kanan) menunjuk sijil tamat kursus kepada rakan seangkatannya, (dari kiri) Nur Izzatur Ismail, Fatin Amirah Mohamed Yusoff, Ridzuan Azlan dan Danial Abdul Rahim Azmir.


Empat pelajar lain yang turut mendapat anugerah pelajar cemerlang ialah Azmir Ridzuan Azlan, Danial Abd. Rahim, Fatin Amirah Mohamed Yusoff dan Nur Izzatur Ismail.

Menariknya, tanggungan pembelajaran selama empat tahun di Jepun bagi kesemua pelajar tersebut ditaja sepenuhnya oleh JPA.

"Penghantaran pelajar ke Jepun ini selaras dengan Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Ia bertujuan untuk mempraktikkan pemodenan industri terpilih dan budaya yang dicipta oleh Jepun di Asia Timur," kata Pro-Canselor UM, Datuk Seri Dr. Aishah Ong.


MASYARAKAT Jepun terkenal dengan disiplin, rajin berusaha, komited dan rajin berusaha.


Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Rancangan Persediaan Khas ke Jepun bagi sesi 2009/2010 di Dewan Canselor UM, baru-baru ini.

Menurut Aishah, Negara Matahari Terbit itu terkenal dengan nilai-nilai seperti berdisiplin, rajin berusaha, komited dan berfikiran kolektif termasuk pencapaian cemerlang dalam bidang keilmuan.



Sejak program itu diperkenalkan pada 1982, pelajar yang berjaya menamatkan kursus RPKJ akan dihantar ke Jepun setiap tahun.

Pelajar akan belajar bahasa Jepun dan subjek lain selama dua tahun di UM dan kemudiannya akan memilih kursus-kursus yang diminati semasa melanjutkan pelajaran di Jepun.

Seorang lagi pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Jepun, Fatin Amirah Mohamed Yusoff, 20, menyatakan kegembiraannya kerana berjaya melanjutkan pelajaran dalam kursus Kepintaran Buatan (AI).

"Sememangnya kursus AI menjadi pilihan kerana saya bercita-cita ingin membuat kartun animasi sendiri suatu hari nanti," katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Guru-Guru Jepun, Profesor Junichi Watanabe, melatih pelajar menjadi seorang yang kreatif adalah objektif utama dalam pendidikan universiti.

"Para pensyarah di Jepun mengharapkan anda akan menjadi lebih berdikari berbanding semasa di RPKJ. Ini kerana perkara pertama yang akan diminta oleh pensyarah di Jepun adalah merangka pelan kerja dan seterusnya mempraktikkannya dengan semangat dan azam yang tinggi," kata Junichi atau nama Islamnya, Jamal Junichi Watanabe.

Turut hadir Duta Besar Jepun di Malaysia, Masahiko Horie dan Pengurus Besar Sojitz Malaysia Sdn. Bhd., Makoto Mori. - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

Tiada ulasan: