Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

25.3.08

Samy: 15 bahagian gesa undur, 17 sokong


Oleh Aizawati Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Mac – Sebanyak 15 bahagian MIC di Selangor menggesa Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan Presiden parti itu bagi memberi laluan kepada muka baru demi masa depan kaum India di negara ini.

Ketua Bahagian MIC Petaling Jaya Selatan, Barath Maniam yang mendakwa mewakili semua 15 bahagian itu berkata, antara bahagian terlibat ialah Ampang, Selayang dan Banting yang mencapai kata sepakat untuk meminta Samy Vellu berundur dari parti.

“Kita mahu Samy Vellu letak jawatan secara sukarela demi kebaikan MIC kerana masyarakat India sudah tidak percaya kepadanya dan merasakan nasib mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, kira-kira 100 ahli MIC Selangor hadir pada mesyuarat hari ini bagi meminta Samy Vellu melepaskan jawatannya sebagai Presiden parti.

Jelas Barath, sepanjang Samy mentadbir MIC, tiada perubahan dilakukan kepada kaum India, sebaliknya terus ketinggalan.

“Samy Vellu memegang jawatan Presiden terlalu lama. Untuk meredakan kemarahan rakyat, beliau perlu berundur.

“Beliau mesti bertanggung jawab terhadap masalah yang berbangkit, pemerintahan beliau sudah tidak relevan dengan MIC,” ujarnya.

Malah lebih membimbangkan, jelas Barath, ramai ahli MIC termasuk pemimpin di peringkat cawangan berhasrat melompat parti dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah mendapati MIC tiada lagi berfungsi membela hak rakyat.

Sementara itu Bernama melaporkan, MIC Selangor menyokong dan tetap setia terhadap Samy Vellu untuk terus menerajui parti.

Sokongan itu dinyatakan oleh 17 dari 22 pemimpin bahagian MIC Selangor yang bertemu beliau di rumahnya di sini hari ini.

Seorang lagi pemimpin bahagian yang berada di luar negara, turut menyatakan sokongan menerusi pemimpin lain.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Samy Vellu berkata beliau berterima kasih kepada pemimpin bahagian tersebut di atas sokongan mereka dan berjanji akan menangani masalah yang dihadapi kaum India.

“Pemimpin tersebut mahu saya membawa perubahan positif kepada cara parti beroperasi,” katanya.

Beliau berkata beliau akan menyuntik dinamisme baru di dalam MIC untuk membawa perubahan.

Katanya satu bengkel akan diadakan 30 Mac ini yang akan dihadiri ketua bahagian MIC untuk membincangkan pendekatan baru bagi menjadikan parti itu lebih relevan.

Mesyuarat hari ini turut membincangkan kelemahan parti semasa pilihan raya lepas yang turut melihat beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput.

Samy Vellu berkata anggota parti yang menyimpang dari prinsip dan perlembagaan parti akan diambil tindakan tegas.


Utusan

Tiada ulasan: