Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

25.3.08

20 NGO serah memorandum kepada Sultan Perak


Oleh Zaini Raban

IPOH 23 Mac - Sebanyak 20 badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili lebih 20,000 ahli akan menyerahkan satu memorandum kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi membela nasib orang Melayu yang kini diperintah oleh kerajaan campuran.

Kumpulan itu yang diterajui oleh Generasi Profesional dan Pewaris Bangsa (Prowaris) mendakwa, sebahagian besar orang Melayu di negeri ini begitu bimbang ekoran tiada keseimbangan dalam perkongsian kuasa kerajaan tersebut.

Pengasas Prowaris, Nonee Ashirin Mohd. Radzi berkata, pihaknya juga mendesak agar Sultan Perak menolak hasrat pakatan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu mewujudkan dua jawatan Timbalan Menteri Besar.

''Jawatan dua Timbalan Menteri Besar adalah bertentangan dengan undang-undang kerana ia langsung tidak termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

''Kami percaya tujuan jawatan itu diwujudkan adalah semata-mata untuk kepentingan politik parti DAP dalam menguasai pentadbiran kerajaan negeri Perak yang baru," katanya di sini hari ini.

Nonee Ashirin berkata, rakyat terutamanya kaum Melayu merayu kepada Sultan Perak mempertimbangkan dengan bijaksana mengenai pelantikan ahli-ahli exco kerajaan negeri.

Jelas beliau, formula yang dikemukakan oleh kerajaan campuran supaya melantik enam ahli exco daripada DAP, tiga daripada PKR dan satu daripada Pas perlu ditolak sama sekali kerana membelakangkan kepentingan orang Melayu.

Katanya, jika pelantikan tersebut diperkenankan Sultan Perak, ia secara tidak langsung menggambarkan bahawa negeri ini diperintah oleh kaum lain sedangkan kaum Melayu merupakan penduduk majoriti di negeri ini.

''Sepatutnya jumlah ahli exco dari kaum Melayu mesti lebih ramai daripada kaum lain sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan negeri sebelum ini," katanya.


Utusan

Tiada ulasan: