Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

25.3.08

Demonstrasi bantah filem Fitna di Belanda


AMSTERDAM 23 Mac – Penunjuk perasaan pelbagai kaum dan agama membanjiri dataran utama di sini semalam untuk menyuarakan tentangan terhadap Ahli Parlimen sayap kanan, Geert Wilders.

Protes bertemakan “Belanda Menunjukkan Pendiriannya” itu merupakan reaksi terhadap filem Wilders, Fitna yang menggambarkan al-Quran sebagai sebuah kitab “fasis”.

Wilders telah menyatakan dia akan menyiarkan filem 15 minit itu pada hujung bulan ini.

Seorang penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan slogan bermaksud “bersama-sama menentang kempen populis berhaluan kanan.”

“Saya menentang keras Geert Wilders dan fahaman perkauman tetapi saya fikir amatlah penting untuk menunjukkan bukan sahaja kepada Belanda tetapi juga seluruh dunia bahawa ramai orang yang tidak bersetuju dengan pandangannya itu,” kata Elisa Trepp.

Wilders yang mendakwa dia tidak bersikap perkauman mengetuai sebuah parti yang menduduki sembilan kerusi di Parlimen Belanda, setelah dipilih berdasarkan platform antipendatang.

Pegawai Belanda khuatir filem tersebut boleh mencetuskan protes ganas di negara-negara Islam, seperti yang berlaku dua tahun lalu berikutan penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad S.A.W. di akhbar-akhbar Belanda dan Denmark.

Namun tidak ada tokoh politik yang menyertai 2,000-3,000 orang yang berhimpun di dataran utama dikenali sebagai The Dam di sini.

Ketiadaan mereka mengecewakan penunjuk perasaan itu.

“Kerajaan mampu melakukan sesuatu kerana ini demi kepentingan negara – halang dia,” kata Hassan Laeti yang datang jauh dari selatan negara ini.

Hassan berpendapat, Wilders menyalahgunakan kebebasan bersuara yang semestinya ada batasnya.

“Awak boleh mengkritik umat Islam sendiri tetapi bukan agama kami dan Nabi kami kerana itu melibatkan kepercayaan kami,” katanya.

Perdana Menteri, Jan Peter Balkenende telah menyatakan, sungguhpun beliau menolak pandangan Wilders, beliau menyokong kebebasannya untuk bersuara.

Bagaimanapun, Balkenende memberi amaran filem Wilders boleh membawa padah kepada kepentingan Belanda.

Sementara itu, sebuah perkhidmatan Internet berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Network Solutions yang hendak digunakan oleh Wilders untuk menyiarkan filemnya itu mengumumkan mereka telah menutup laman web berkenaan disebabkan aduan yang diterima.

“Laman web ini digantung sementara, Network Solutions menyiasat sama ada kandungan laman web ini melanggar dasar kami,” menurut syarikat tersebut di laman web www.fitnathemovie.com.

Wilder telah mendedahkan rancangannya untuk menayangkan Fitna di Internet setelah stesen-stesen penyiaran Belanda enggan menyiarkannya.

– Agensi

1 ulasan:

Firdaus Abd Rahman berkata...

Akhirnya seorang warga saudi membuat filem yang membalas FITNA

maklumat lanjut :

http://abgfir.blogspot.com/2008/04/bible-version-of-fitna-video-schism.html