Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Bironya Eric Choo berkata bukan kuasa Zahid atau polis memutuskan sama ada mereka yang menawarkan ganjaran itu telah melakukan satu kesalahan atau tidak.
Eric berkata menteri dalam negeri sepatutnya mengingatkan bahawa tugas dan tanggungjawab polis hanya menyiasat dan kemudian keputusan serta tugas mendakwa terletak kepada peguam negara.
Sehubungan itu, dengan rasa rendah diri, Eric berharap Zahid tidak lagi membuat kenyataan yang boleh mempengaruhi kes itu sebaliknya membiarkan undang-undang dan prosedur menentukannya.
Semalam, Zahid dilaporkan berkata tawaran ganjaran wang kepada sesiapa yang pertama menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bukan satu ancaman, maka "tiada apa yang perlu disiasat kerana ia bukan satu ancaman".
Zahid: Tawaran tampar Teresa bukan ancaman
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata tawaran ganjaran wang kepada sesiapa yang pertama menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bukan satu ancaman.Ahmad Zahid, yang juga naib presiden Umno, dipetik oleh The Malaysian Insider sebagai berkata bahawa "tiada apa yang perlu disiasat kerana ia bukan satu ancaman".
Portal berita itu memetik Zahid sebagai berkata dalam satu majlis di penjara Kajang bahawa menampar bukan satu ancaman, tetapi jika mereka kata bunuh, maka ia satu ancaman.
Ahmad Zahid berkata polis hanya akan mengambil tindakan sekiranya perbuatan menampar berlaku.
"Jika mereka menamparnya, maka kita akan mengambil tindakan," katanya sambil dipetik sebagai menambah bahawa perkara menampar itu adalah antara Teresa dan kumpulan berkenaan.
Dilaporkan beberapa NGO Islam yang mengadakan protes di Jalan Tun Perak, dengan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mustafa Hamzah menawarkan ganjaran wang kepada orang yang pertama yang berjaya menampar Teresa.
Teresa telah membuat laporan polis mengenai perkara itu semalam. Beberapa peguam, ketika dihubungi, berkata tawaran itu merupakan satu perbuatan jenayah kerana ia adalah sebahagian daripada intimidasi jenayah di bawah Seksyen 503 dan 505 Kanun Keseksaan.
Polis menyatakan bahawa mereka telah mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 505(c) kerana berniat menghasut sesiapa sahaja untuk melakukan kesalahan, dan Seksyen 506 bagi intimidasi jenayah.
Ahmad Zahid, bagaimanapun, berkata video Teresa mengenai
Tahun Baru Cina juga disiasat kerana sudah terdapat lebih 300 laporan polis yang dibuat terhadap klip tersebut.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( SKMM) telah memulakan siasatan dan pihaknya akan mengumpul semua laporan dan akan meneliti perkara itu.
Khamis lalu, selain tawaran menampar Teresa, NGO terbabit juga menyembelih empat ekor ayam dan melumurkan darahnya pada banner gambar pemimpin Pakatan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan