Jun 25, 2013
Tetapi semuanya ini tidak diambil peduli apabila menangani isu besar dan mendesak yang menyentuh hak rakyat Syria, kerana pihak yang menjuarai hak asasi ini sibuk menjaga kepentingan negara masing-masing dan mempertahankan hak keselamatan negara haram Israel, samada secara sedar atau tidak sedar. Begitulah rupanya apabila pengaruh Zionis dan agendanya masuk ke dalam kepala para pemimpin dunia, negara kuasa besar dan lebih malang lagi termasuklah pemimpin negara Arab dan pemimpin negara umat Islam.
Perlulah kita ingat bahawa para pemimpin kanan Israel, sama ada pimpinan politik atau tentera, tlahpun membuat kenyataan terbuka bahawa Israel akan campur tangan menyerang secara lansung ke dalam Syria sekiranya senjata jatuh ke tangan kumpulan Islam, sama ada Ikhwan Muslimin, al-Qaeda atau Hizbullah. Nampaknya Israel tetap menjaga kepentingannya tanpa mengira apakah mazhab yang dianut oleh kumpulan yang bernama Islam. Inilah sikap sebenar negara haram Zionis ini yang menunjukkan sikapnya yang paling bermusuh terhadap Islam.
Aspek yang lain pula, jangan dilupai bahawa semua negara kuasa besar terlibat mewujudkan negara haram Israel sejak tahun 1948 menerusi British Mandate for Palestine. Sejak saat inilah semuanya terpengaruh dengan agenda Zionis yang menjadi guru mencipta ideologi kepada semua negara kuasa besar dan sekutunya yang berbeza ideologi itu. Seterusnya rangkaian Zionis mempengaruhi politik dalaman dan antarabangsa, ekonomi dunia dan medianya.
Sejarah membuktikan, bahawa Zionis ini tidak akan mengizinkan mana-mana kumpulan Islam, samada kumpulan itu dari mazhab Sunni, Salafi atau tidak. Mereka juga tidak mengira samada kumpulan itu adalah Syiah muktabar atau tidak, dan tanpa mengira pendekatan sederhana atau melampau, Ikhwan atau al-Qaeda atau Hizbullah, semuanya diletakkan dalam satu bakul. Semuanya tidak diizinkan sekiranya yang mengambil alih kuasa di Syria bagi mengganti Basyar Asad dan Parti Ba’athnya. Israel dan semua kuasa besar itu boleh menerima siapa sahaja yang tidak berjenama Islam tanpa mengira ideologinya. Pendirian mereka ialah bahawa Basyar Asad tetap lebih baik daripada semua kumpulan Islam tanpa mengira mazhab, kerana sebarang perubahan kepada Islam dikira paling membahayakan keselamatan Israel dan menjejaskan kepentingan negara barat dan sekutunya dan juga Russia, China dan sekutunya.
Bacalah kenyataan Ketua Turus Pasukan Pertahanan Israel (IDF Chief of Staff) Benny Gantz pada Januari 2012 lalu bahawa Israel boleh menerima puak Alawi dari kumpulan Basyar Asad sebagai pelarian akibat dari Revolusi yang berlaku di Syria, kerana kumpulan ini tidak membahayakan Zionis Israel. Maka akhirnya Kerajaan kumpulan minoriti Alawi yang sesat dan Parti Ba’ath berideologi kiri pimpinan Basyar Asad adalah paling diterima oleh semua kuasa besar itu demi kedudukan masing-masing.
Maka akhirnya rakyat Syria lah yang menjadi mangsa pertembungan bersenjata yang melibatkan kuasa besar timur dan barat yang melibatkan Amerika, Kesatuan Eropah dan sekutunya, dan juga Russia, China dan sekutunya.
Terheret sama dalam konflik berdarah ini ialah negara serantau, Turki, negara Arab dan Iran di atas nama strategi masing-masing. Akhirnya Basyar Asad juga yang dilihat lebih berpeluang mengikat semua pihak kerana tidak ada pengganti yang lebih baik daripadanya demi menjaga kepentingan masing-masing. Kezaliman dan kekejaman keluarga Asad menerusi Hafeez al-Asad terhadap rakyatnya sendiri telah berlaku sejak dari tahun 1970an lagi. Walaupun kumpulan Alawinya yang terlalu kecil (10%) tidak muktabar dalam mazhab Sunni dan Syiah yang muktabar, parti Ba’athnya dapat terus memerintah secara diktator sejak sekelian lama.
Adapun negara serantau pula bertegas dengan strategi masing-masing. Iran dan Hizbullah menjadikan alasan bahawa Basyar Asad adalah rakan strategi jalinan pembekal senjata menentang Israel dan membantu garisan hadapan Palestin dan Selatan Lubnan; dan dalam masa yang sama Syria di bawah kerajaan Alawi dan parti Ba’ath tidak menjadi ancaman besar terhadap Israel. Akhirnya Basyar Asad juga dipertahankan di atas alasan strategi, dengan berlarutan, walau pun membunuh rakyatnya sendiri.
Adapun setengah negara Arab Teluk dan bukan Teluk menganggap Iran dan Hizbullah bersama mazhab syiahnya adalah ancaman kepada mereka setaraf dengan Israel, maka Iran dan Hizbullah perlu dihapuskan. Akhirnya mereka meletakkan Israel dan Basyar Asad sebagai bukan ancaman sebenar, maka Basyar Asad dan parti Ba’athnya tidak penting, maka selamatlah dia.
Dalam masa yang sama Amerika dan sekutunya mengira Iran dan Hizbullah adalah ancaman terbesar, menyebabkan negara-negara barat itu meletakkan semua kumpulan yang berjenama Islam dalam satu bakul bahaya, tanpa mengira mazhab Sunni atau Syiah, Salafi atau Khalafi, Syiah Muqtada al-Sadr atau Sistani, Konservatif atau Reformasi, tanpa perbezaan di antara kumpulan sederhana yang mememilh Demokrasi atau pelampau yang mengharamkan Demokrasi. Semua yang berjenama Islam adalah pelampau dan mengancam keamanan dunia, khususnya kedudukan keselamatan Israel lebih penting bagi mereka. Rusia dan China juga masing-masing ada saham mewujudkan negara haram Israel, dalam masa yang sama ikut berlumba dalam persaingnan mendapat pengaruh dan pasaran di Asia Barat yang berisikan sumber tenaga yang menjadi rebutan.
Ada pun sebahagian lagi negara Arab pula sangat bergantung dengan kuasa besar, sehingga menjadikannya pelindung lebih daripada Allah SWT. Manakala kumpulan Islam Sunni juga dianggap sebagai ancaman kepada sebahagian negara Arab ini, bukan hanya Syiah, sehingga mengizinkan buminya menjadi pengkalan tentera asing yang diambil kesempatan bukannya menjaga kawan, tetapi lebih utama menjaga Israel dan telaga minyak di rantau itu. Hakikatnya ada negara Arab dan negara umat Islam sekitarnya yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
Akhirnya tindakan mengekalkan Basyar Asad di Syria adalah boleh mengekalkan pasaran dan menambah nilai semua pihak, kerana daripada pihak lain khususnya kumpulan Islam, adalah lebih baik dibiarkan sahaja Basyar Asad dan parti Ba’athnya yang tidak berpegang dengan agama dan mana-mana mazhab yang muktabar.
Sepatutnya umat Islam tidak celaru dalam menentukan sikap. Umat Islam sepatutnya jelas bahawa negara haram Israel diwujudkan secara haram dan dipaksakan ke atas umat Islam, dan dalam masa yang sama negara kuasa besar tidak boleh diberi kepercayaan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku. Kuasa besar Barat ini hanyalah melihat dua perkara yang paling penting iaitu (1) survival negara haram Israel dan (2) kekuasaan mereka kepada sumber petroleum sebagai asas tenaga negara Barat; bukannya kepentingan rakyat negara-negara Arab yang berdepan dengan konflik berdarah ini, ataupun keselamatan negara-negara Arab rantau teluk itu sendiri.
Bagi penyelesaiannya, semua negara serantau , Arab, Turki dan Iran bersama seluruh negara umat Islam sepatutnya bebas daripada pengaruh negara pengacau yang datang dari timur dan barat dan bersatu strategi kembali kepada Islam.
Selesaikan masalah umat dengan Islam, khusus Palestin dan ancaman Zionis negara haram Israel, sebagai perkara paling mudah untuk difahami dan sepatutnya menyentuh hati sanubari setiap umat Islam.
Ada pun perbezaan mazhab yang masih berpegang dengan rukun-rukun Islam yang asasi, boleh dibincang secara ilmu oleh kalangan ilmuan yang bebas daripada pengaruh kerajaan yang menolak Islam, jangan serah kepada yang jahil, sama ada individu atau media. Perbezaan kebangsaan dan sempadan negeri di kalangan umat Islam boleh disatukan oleh ajaran Islam sekiranya kita benar-benar berpegang kepadanya. Tolonglah diri sendiri, jangan bersekongkol dengan kuasa besar Timur dan Barat. Kembalilah kepada Islam.
Hj Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS
25 Jun 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan