BUKIT MERTAJAM - Tiga belas rakyat asing termasuk empat wanita dan
seorang kanak-kanak ditahan dalam 'Ops Sayang' di sekitar tapak
pembinaan dan premis hiburan di sini.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Pulau Pinang Basri
Othman berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada tujuh rakyat
Indonesia dan masing-masing tiga rakyat Vietnam dan Myanmar.
"Kesemua warga asing berusia antara setahun enam bulan dan 40 tahun itu
ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri dan tinggal lebih masa,"
katanya kepada pemberita selepas Ops Sayang yang bermula 6 petang
semalam hingga awal pagi ini.
Beliau berkata dalam operasi pertama petang semalam, Jabatan Imigresen
Pulau Pinang menahan dua wanita dan seorang pondan rakyat Vietnam yang
bekerja di premis urut dan spa di Jalan Raja Uda.
Turut diserbu dua premis yang menjalankan aktiviti perjudian komputer
di Taman Pelangi dan dalam serbuan pada 9.15 malam itu pihaknya menahan
seorang lelaki serta seorang wanita Indonesia dipercayai penjaga premis
itu.
"Berdasarkan serbuan itu, kami dapati premis yang pernah diserbu
beberapa kali sebelum ini menyediakan perkhidmatan perjudian Internet
dan cabutan bertuah kepada pelanggannya serta menjadi tumpuan warga
asing yang tinggal di kawasan flat berhampiran," katanya.
Basri berkata dalam serbuan di tapak pembinaan di Kampung Teluk di sini
pada pukul 1 pagi, pihaknya menahan lima rakyat Indonesia termasuk
seorang wanita dan anaknya serta tiga warga Myanmar.
"Wanita berkenaan menyusukan anak kecilnya sebagai umpan agar
kanak-kanak itu tidak menangis ketika bersembunyi di ruang sempit
bahagian belakang rumah kongsinya manakala beberapa lelaki lain
bersembunyi di bawah lantai rumah kongsi mereka," katanya. - Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan