Perasaan curiga dan cemburu seorang wanita terhadap suaminya yang dipercayai curang menyebabkan dia tergamak memotong alat kelamin suaminya dengan sebilah pisau dapur, dalam satu kejadian di Jawa Timur, semalam.
  
Kejadian yang menggemparkan itu berlaku di Kampung Langsar, dalam daerah kecil Saronggi, Sumenep, lapor portal berita Tempo.Co.
  
"Kejadiannya sekitar pukul 4 pagi," kata Mahrus, penduduk Langsar sebagaimana dipetik laman portal berita itu.
  
Beliau berkata ketika itu lelaki berkenaan sedang tidur nyenyak dalam bilik, isterinya yang terjaga dari tidur terus menuju ke dapur, mengambil sebilah pisau, kembali ke bilik tidur dan memotong alat kelamin suaminya.

Pasangan suami isteri itu berusia 33 tahun.

Jurucakap polis daerah Saronggi yang megesahkan kejadian itu berkata berdasarkan maklumat yang dikumpul polis, wanita itu nekad memotong alat kelamin suaminya kerana mengesyaki beliau menjalin hubungan sulit dengan wanita lain.
  
"Suspek sudah kami tahan dan masih menjalani proses siasatan di balai polis," katanya.
  
Mangsa kejadian itu kini sedang menjalani rawatan intensif di Hospital Daerah Moh Anwar, Kota Sumenep.
  
- Bernama