Perdana menteri yang mengenakan pakaian tradisi Cina berwarna merah, tetap hadir walaupun kumpulan berkenaan mengambil beberapa pendirian bertentangan dengan kerajaan sejak akhir-akhir ini.
Mengulas lawatan Najib, timbalan pengerusi Dong Zong, Chow Siew Hon menyifatkannya sebagai "satu permulaan yang baik".
Menurutnya, ia bukan ukuran kejayaan majlis ini kerana Najib juga pernah menghadiri majlis lain tanpa menyampaikan ucapan.
"Tiada ucapan (dari Najib) tidak bermakna majlis ini tidak berjaya.
"Saya rasa majlis ini sangat berjaya," katanya ketika ditemui pemberita di majlis berkenaan.
Katanya, kumpulan pendesak berkenaan tidak kecewa walau perdana menteri tidak membawa "buah tangan" untuk mereka hari ini.
Dong Zong dalam surat jemputannya kepada perdana menteri menggariskan tiga tuntutan: Mengiktiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC), membina lebih banyak sekolah Cina bebas dan menyemak semula Blueprint Pendidikan Nasional.
Najib bagaimanapun tidak membuat apa-apa pengumuman berhubung perkara tersebut dalam kunjungannya ke majlis hari ini.
Chow seterusnya berkata, pengerusi Dong Zong, Dr Yap Tian Sin juga telah berjanji untuk melakukan kunjungan hormat ke pejabat perdana menteri untuk membincangkan isu-isu pendidikan Cina dengan lebih terperinci.
"Beliau (Najib) minta saya atur pertemuannya selepas sambutan Tahun Baru Cina," katanya lagi.
Pertemuan itu juga bergantung kepada tarikh yang akan ditetapkan perdana menteri.
Turut mengiringi Najib hari ini adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Koh Tsu Koon, presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek serta timbalan menteri pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.
Program yang dihadiri 5,000 orang itu juga disertai ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tiba kira-kira sejam selepas Najib beredar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan