Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

13.2.13

Depan Mata: Tuah tahun baru

Ramai pembikin filem tanah air merungut dengan keadaan industri sepanjang tahun lalu yang kurang memberangsangkan apabila rata-rata kutipan filem rendah. Bagaimanapun, perkara itu sedikit pun tidak dirasai produser Metrowealth Pictures Sdn Bhd (MIG), David Teo.
Ancaman tayangan dua filem seminggu sebagaimana disuarakan kebanyakan penggiat filem sebagai punca, bukan satu masalah buatnya.

Sebaliknya ia dijadikan cabaran untuk menguji selera penonton untuk pembikinan filem akan datang. Filem yang menepati selera mereka akan mendapat sambutan, begitu juga sebaliknya.
Kehadiran Astro First yang turut dilihat kebanyakan pembikin filem sebagai saingan kepada filem di pawagam, dilihatnya sebagai penyelamat, terutama bagi filem yang mencatat kutipan rendah.

Dengan bayaran Astro First, ia dapat mengurangkan kerugian dialami bagi filem yang mencatat kutipan rendah, manakala bagi filem yang mendapat sambutan pula, ia menjadi bonus apabila ditayangkan di Astro First.

Apabila filem terbitan MIG mencatat kutipan rendah hingga ada yang hanya mencecah RM200,000, David tidak menuding jari kepada orang lain seperti pengarah atau pelakonnya.
Baginya, mereka adalah orang yang dipilih olehnya, jadi mengapa pula bila filem gagal, tuding jari kepada mereka yang dipilihnya.

Perjalanan produksinya terus rancak dan berkembang pesat. Dari pejabat kecil di USJ1, Subang Jaya ke bangunan tujuh tingkat di Pusat Perdagangan Petaling Jaya (PJCC) dan tidak lama lagi, akan ke Cyberjaya pula dengan bangunan lebih besar dan selesa.
MIG kini mencapai tahap industri sebagai pengeluar filem dan drama sebagaimana yang sering kita sebut selama ini. Sejak 2000 hingga 2012, MIG menghasilkan 75 filem dan tahun ini mahu menghasilkan 15 filem.

Kejayaan ini juga bukan dicapai dalam sekelip mata. MIG bermula dengan kerugian apabila filem pertama, Syukur 21 yang dihasilkan dengan modal RM2.8 juta diikuti dua filem selepas itu, No Problem dan Mendam Berahi, tetapi kadar kerugian dua filem itu tidak seteruk filem pertama kerana kos kedua-duanya lebih rendah.

Belajar daripada situ, MIG menghasilkan filem dengan bajet sederhana dan apabila mendapat sambutan, ia sedikit demi sedikit memberi keuntungan.

Bukan mahu mengangkat MIG dalam kolum saya minggu ini tetapi ingin berkongsi apa yang baik untuk difikirkan bersama. Mana yang baik kita jadikan teladan, mana yang tidak baik dijadikan sempadan.

Saya mula mengenali David ketika pembikinan Mendam Berahi dan sejak itu, sering membuat liputan filem terbitannya.

Sama ada ketika zaman pengarah A Razak Mohaideen, kemudian zaman Ahmad Idham dan kini zaman pengarah muda melalui Skim 10 Pengarah Muda, saya terus melihat perjalanan MIG daripada kaca mata pengamal media.

Walaupun macam-macam orang kata, saya melihat mana yang baik kita ikut, yang buruk kita buang. Sememangnya seperti ada satu tanggapan sinis di kalangan penggiat seni apabila pelakon yang ada nama sanggup bekerja dengan produksi MIG.

Shaheizy Sam dikenali sebagai pelakon bagus dan tidak pernah mengecewakan lakonannya, tetapi apabila menyertai MIG, tidak memilih filem yang dibintangi hingga ada kualitinya disifatkan sangat buruk. Kini Pekin Ibrahim pula mengikut jejak langkah Sam dengan menjadi artis MIG.

Saya melihat apa dilakukan Sam atas rasa tanggungjawab di atas kerja yang diserahkan kepadanya. Setiap filem yang dibintangi bermakna memberi pendapatan kepadanya.

Apabila diberikan satu naskhah filem, dia sedia bekerja dan memberi lakonan sebaik mungkin. Namun kalau hanya lakonan Sam yang bagus dan tidak disokong skrip yang baik serta pengarah yang bagus, apabila filem gagal di pawagam, ia bukan lagi kesalahan Sam. Lainlah kalau ada yang kata teruknya lakonan Sam.

Begitu juga apabila Faizal Hussein berlakon dengan produksi MIG melalui filem Longkai. Tidak mustahil Faizal juga bakal mengikut jejak Sam dan Pekin kerana lakonan menjadi sumber pendapatannya untuk menyara keluarga.

Apakah mahu menanti naskhah hebat tetapi entah bila akan tibanya tetapi waktu sama, bagaimana hendak menyara anak dan isteri? Yang paling penting ialah bekerja dengan ikhlas dan berikan yang terbaik atas tanggungjawab yang diberi, bukan memilih kerja tertentu.

Kini saya melihat MIG bukan saja kilang mengeluar filem dan drama tetapi juga payung besar kepada ratusan anak muda bangsa kita yang berpaksikan dunia seni, sama ada sebagai pelakon, pengarah hinggalah kru di balik tabir sampailah yang menyediakan makanan dan membancuh air di lokasi. Semuanya bekerja untuk menyara keluarga.

Yang mengagumkan, apabila mendapat untung, ia dikongsi bersama mereka yang selama ini bekerja keras dan bukan dinikmati dirinya dan keluarganya saja, manakala kakitangan dan orang yang selama ini bertungkus lumus membantu kejayaannya dilupakan.

Amalan berkongsi rezeki ini diamalkan MIG sejak dulu lagi apabila filemnya mendapat untung. Jika banyak untung, banyaklah bonus yang diterima dan ia diberi setiap kali menjelang Tahun Baru Cina yang dikenali sebagai angpau.

Bagaimanapun, disebabkan MIG ramai pekerja Melayu, sambutan Aidilfitri juga sama meriahnya dengan Tahun Baru Cina. Bertuahnya mereka kerana dapat bonus dua kali.

Sempena Tahun Baru Cina yang diraikan hari ini, MIG meraikan artis dan pengarah yang gigih bekerja untuk produk syarikat, begitu juga media cetak dan elektronik yang selama ini memberi publisiti, dalam satu majlis sederhana tetapi meriah di Wisma Metrowealth di PJCC, Rabu lalu.

NOTA: Semoga penyanyi Shila Amzah menemui jalan penyelesaian atas kemelut yang melanda bapanya, ND Lala dengan kekasih hatinya, Shaarnaz Ahmad. Nasihat saya buat Shila, ibu bapa kandung kita adalah harta yang tidak ternilai dan hargailah ia kerana kita tidak akan mendapat ibu bapa lain yang lebih baik lagi selepas ini kerana itulah satu-satunya ibu bapa kita yang tiada gantinya. Bagaimanapun, insya-Allah kita akan mendapat lelaki yang menjadi teman hidup kita yang lebih baik lagi pada masa akan datang.

Tiada ulasan: