Written by Administrator
Thursday, 03 August 2006
Dalam statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Kesatuan Eropah, 3.9 juta tan biofuel telah dihasilkan sepanjang tahun 2005. Statistik tersebut telah mencatatkan peningkatan sebanyak 65.8% peratus berbanding tahun sebelumnya.Peningkatan yang melebihi 50% yang disasarkan itu adalah satu petanda sihat terhadap penggunaan sumber tenaga alternative di alaf ini.
Masih ramai yang kurang terdedah akan maksud dan tujuan penggunaan biofuel. Oleh yang demikian adalah penting untuk mengetahui definisi Biofuel itu sendiri. Ini penting dalam memahami takrifan dan penerangan berkaitan industri ini. Seringkali ramai yang terkeliru akan definisi biofuel dan biodiesel. Pada asasnya Biofuel adalah kata nama yang mewakili kumpulan baru daripada pelbagai jurus tenaga alternatif. Seperti yang kita sedia maklum, tenaga alternatif seperti tenaga suria, tenaga hidro dan juga angin adalah tiga kumpulan tenaga yang penting yang telah wujud sejak sekian lama. Pengenalan istilah biofuel ini berkait rapat dengan sumber-sumber yang digunakan dalam penghasilannya. Biofuel berasal dari gabungan dua perkataan Inggeris, iaitu „Biologi“ dan „Fuel“. Penggunaan istilah Biologi merujuk kepada sumber dan unsur semulajadi yang berpotensi menjadi sumber tenaga, seperti tumbuhan,haiwan dan jisim-jisim gas tertentu. Sisa pembuangan tumbuhan dan haiwan boleh diproses untuk menghasilkan biomass, manakala sumber biogas boleh dihasilkan menggunakan kaedah-kaedah tertentu melibatkan gas-gas ammonia,hidrogen dan lain-lainnya.
Dalam konteks industri biofuel terkini, biodiesel dan ethanol merupakan dua jenis biofuel yang paling banyak dihasilkan. Penghasilan kedua-dua sumber tenaga baru ini pula dipengaruhi oleh banyak faktor. Faktor geografi,sumber alam dab teknologi merupakan tiga faktor penting yang mempengaruhi industri biofuel masakini. Di Eropah dan di Asia, biodiesel lebih banyak dihasilkan berbanding ethanol. Manakala di Amerika Syarikat ethanol lebih mendapat tempat di khalayak penyelidik dan juga pelabur.
Dalam aspek teknologi misalnya, penggunaan enjin Diesel di Eropah lebih dominan berbanding pengunaan enjin Otto. Manakala di Amerika, penggunaan enjin Otto yang meluas telah menjadi pemangkin perkembangan industri biofuel berasaskan ethanol. Kedua-dua jenis enjin tersebut telah diberi nama bersempena nama dua orang jurutera Jerman yang telah merekabentuk enjin berasaskan diesel dan petrol.
Jika dilihat dari aspek geografi dan sumber alam, di benua Asia misalnya, penanaman kelapa sawit yang meluas di Indonesia dan Malaysia telah menjadi pemangkin kepada industri biodiesel yang semakin berkembang hari demi hari. Galakan dari kerajaan dan sektor swasta juga turut sama merancakkan lagi industri biofuel di sleuruh dunia.
Secara ringkasnya, industri biofuel terbahagi kepada dua bahagian yang utama. Pertama ialah industri biodiesel dan kedua ialah industri ethanol.
Biodiesel pula boleh dihasilkan melalui dua kaedah. Kaedah yang pertama ialah dengan mencampurkan diesel dalam peratus yang besar dengan minyak sayuran asli dalam peratusan yang kecil. Dalam kaedah yang kedua, biodiesel boleh juga terhasil dengan campuran minyak sayuran dengan peratus yang besar dengan diesel dalam peratusan yang kecil. Dalam kaedah yang kedua ini, minyak sayuran tersebut perlulah menjalani proses transesterfikasi yang menggunakan methanol untuk merendahkan kelikatannya. Kedua-dua jenis kaedah tadi adalah sesuai untuk digunakan sebagai bahan pembakaran dalam enjin diesel, bergantung sama ada enjin tersebut perlu diubah suai ataupun sesuai untuk digunakan 100% dengan biodiesel.
Kumpulan biofuel yang kedua dalam konteks artikel ini ialah industri bio-ethanol. Bio-ethanol dihasilkan melalui proses disitilisasi yang seterusnya dicampurkan dengan petrol. Campuran ini yang lebih dikenali sebagai flexi fuel, boleh digunakan sebagai bahan api dalam semua jenis enjin petrol yang telah melalui modifikasi tertentu.
Biodiesel
Dalam perkembangan mutakhir ini, Eropah merupakan pengguna Biofuel terbesar berbanding rantau-rantau lain. Pelbagai insentif dan galakan diberikan oleh negara Eropah kepada para pemain industri Biodiesel ini. Tidak kira daripada individu-individu sehinggalah ke syarikat-syarikat bertaraf multinasional. Sebagai contoh kerajaan Jerman mengenakan cukai bahan api yang sangat rendah kepada biodiesel. Terdapat juga negara-negara di Eropah yang telah mewartakan biodiesel sebagai bahan api alternatif yang akan diterima pakai sebagai bahan api nasional pada masa hadapan. Ini kerana biodiesel adalah bahan api yang bersih dan bebas dari pencemaran.
Penyelidikan dan pembangunan teknologi biodiesel baik dari sektor bahan mentah itu sendiri dan juga sektor pembuatan enjin berasaskan biodiesel sehinggalah kepada sekto-sektor sokongan, galakan padu daripada kerajaan merupakan pemangkin kepada kepesatan industri biodiesel di Eropah. Pemain-pemain industri biodiesel di Eropah terdiri daripada sekecil-sekecil agensi seperti syarikat-syarikat pertaniaan yang membekalkan sumber minyak sayuran, sehinggalah kepada syarikat-syarikat konglomerat seperti pembuat kereta dan juga pengeksport bahan mentah itu sendiri.
Rangkaian biodiesel di Eropah terbina melalui kerjasama yang erat antara industri kejuruteraan terutamanya kejuruteraan automotif dan juga industri pertaniaan. Dua sektor inilah yang telah memungkinkan banyak sekali penyelidikan dan pembangunan berkenaan dengan biodiesel dijalankan. Para petani yang menanam tanaman seperti kacang soya, raps dan jagung mengambil pelbagai inisiatif sendiri membina makmal kecil dan juga stesen-stesen membekalkan biodiesel. Manakala pemain-pemain indsutri yang lebih besar, menjalankan kajian dan pembangunan terhadap enjin-enjin diesel yang mesra bio dan menguji akan kemampuannya menggunakan biodiesel sebagai bahan api.
Pengeluar-pengeluar kereta di Eropah seperti Volkswagen dan Audi merupakan syarikat yang begitu aktif sekali dalam membangunkan enjin diesel yang dwi fungsi. Sokongan daripada vendor seperti Bosch dan Denso yang turut tidak mahu ketinggalan dalam industri ini, mempercepatkan lagi integrasi biodiesel dalam enjin-enjin kenderaan diesel komersial. Disinilah terletaknya kunci kejayaan dalam industri ini. Kejayaan dalam mengkomersilkan biodiesel sebagai bahan api komersial sikit masa nanti, pasti akan membawa pulangan yang cukup lumayan, setidak-tidaknya mampu menarik minat dan hati pencinta alam sekitar untuk menggunakan kereta berasaskan biodiesel. Yang pasti kelainan biasanya mendatangkan kejayaan. Inilah perkara yang Proton boleh pelajari. Proton selaku pembuat kereta nasional perlu memikirkan akan masa depan hidup mati mereka. Kebergantungan kepada indutri automotif arus perdana sahaja, pasti tidak akan kemana. Semakin hari banyak sekali model-model baru dikeluarkan oleh pembuat kereta dari Korea dan China, yang menawarkan harga lebih kompetetif malah kadangkala murah pada pandagan pembeli.
Proton perlu berani membuat perubahan memulakan langkah menceburi industri bahan api alternatif. Penghasilan enjin berasaskan biodiesel dapat mengembalikan maruah Proton sebagai pengleuar kereta nasional. Penyelidikan dan pembangunan dalam bidang baru ini pasti akan membawa keuntungan dimasa akan datang. Bekalan bahan api biodiesel berasakan minyak sawit dan diesel boleh didapati daripada pasaran domestik. Tidak perlu diperkatakan lagi akan industri biodiesel Malaysia. Malaysia kini terkenal di seluruh dunia kerana mampu menghasilkan 3-5 juta tan penghasilan minyak kelapa sawit setahun. Sebagai antara penegluar minyak sawit terbesar di dunia, industri biodiesel di Malaysia dilihat mampu berkembang pesat. Peluang inilah yang seharusnya dimanafaatkan oleh Proton untuk sama-sama terjun dalam pembangunan dan penyelidikan yang telah pun dimulakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti MPOB dan MARDI. Kedua-duanya menawarkan pusat penyelidikan bertaraf antarabangsa. MPOB sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk industri biodiesel ini, sudah semakin terkehadapan seiring dengan agensi-agensi penyelidikan lain di dunia. Saban tahun akan banyak sekali hasil-hasil kajian biodiesel yang berprestasi tinggi dibentangkankan. Proton perlu mengambil peluang yang sudah ada didepan mata dengan membuat perkongisan pintar dengan agensi-agensi tersebut untuk memajukan industri biofuek negara. Kerjasama antara pusat penyelidikan Proton dan juga agensi-agensi biodiesel negara, pasti akan membuahkan hasil yang menguntungkan rakyat dan negara.
Ethanol
Ethanol adalah sejenis alkohol yang kini semakin popular sebagai bahan api di benua Amerika. Brazil merupakan pengeluar ethanol terbesar di dunia dan juga pengguna ethanol terbesar sebagai bahan api kenderaan. Kebanyakkan kenderaan baru di Brazil yang dijual dilengkapi dengan enjin yang telah diubahsuai untuk membolehkan ethanol dicmapurkan dengan petrol sebagai bahan api. Kenderaan yang dikenali sebagai flexible fuel vehicle ini, membolehkan petrol dicampurkan dengan ethanol dalam peratusan tertentu. Industri ethanol di benua Amerika ditunjangi oleh industri pertaniaan berasaskan tanaman jagung dan tebu. Di Asia Tenggara, Thailand merupakan negara pertama yang menetapkan dasar tenaga alternatif untuk kenderaan. Industri tenaga alternatif di Thailand berkembang pesat kerana disokong oleh industri pertaniaan yang mantap dan produktif.
Adalah amat menyedihkan di kala banyak negara berlumba-lumba memantapkan industri tenaga alternatif ini dengan meningkatkan keupayaan sektor pertaniaan, Malaysia masih tercari-cari arah dalam memajukan industri pertaniaannya. Brazil misalnya. Tanaman tebu yang menjadi tunjang sektor pertaniaan mereka sejak sekian lama, diberi suntikan baru dengan menerapkan teknolgi terkini menjadikan tebu bukan sahaja sebagai pembekal gula, tetapi mampu menghasilkan bahan api ethanol. Di Malaysia senarionya cukup berlawanan. Tanah yang subur, luas dan berpotensi tinggi telah dipenuhi dengan kilang-kilang dan bangunan-bangunan pencakar langit. Kebaktian kepada tanah dilupakan, apabila kemegahan semakin dicari. Penghargaan harus diberikan kepada agensi-agensi sawit Malaysia yang telah bertungkus lumus memajukan industri sawit Malaysia.
Industri bahan api biofuel di Malaysia sangat berpotensi tinggi. Segala kemudahan telah tersedia untuk diutilisasikan untuk tujuan ini. Industri kejuruteraan automotif Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Proton sebagai peneraju industri automotif negara perlu melihat dan berfikir diluar lingkungan arus perdana industri automotif. Di kala pembuat-pembuat kereta seperti Ford dengan Turiusnya, Toyota dengan Hydbridnya dan Volkswagen serta Audi dengan TDI nya, kini semakin teguh dalam pasaran industri biofuel ini; Proton perlu mengambil langkah drastik mencuba sesuatu yang baru. Kebergantungan kepada enjin petrol tidak akan memberi pulangan margin keuntungan yang besar lagi pada masa akan datang, apabila harga minyak semakin meningkat hari demi hari. Pelaburan dalam sektor bahan api berasaskan biofuel terutamanya biodiesel perlu diberi keutamaan dalam rancangan jangka masa panjang. Pengguna dan pembeli akan mula mencari alternatif baru untuk mengurus wang mereka dengan baik. Tidak mustahil dalam masa 5-10 tahun nanti, sekiranya Proton tidak berwaspada, kenderaan berasaskan biofuel akan mula membanjiri pasaran tempatan. Kemampuan dua pembuat kereta iaitu Honda dan Toyota mempunyai kilang pengeluarannya sendiri di Malaysia, pasti akan mempercepatkan lagi proses kearah itu.
Begitu juga dengan industri pertaniaan, pembuatan dan penghasilan. Kecekapan mengurus dan kepantasan menerapkan teknolgi terkini biofuel dalam industri-industri tersebut akan membantu menambahkan lagi sumber pendapatan negara. Peluang pekerjaan akan menjadi lebih terbuka dengan banyak bidang baru dapat ditawarkan. Industri pertaniaan terutamanya akan menjadi lebih berdaya saing dan mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran antarabangsa.
Langkah-langkah awal sudah diambil. Kerajaan melalui dasar biotek negara telah mengumumkan segala bentuk inisiatif dan galakan untuk memajukan industri ini. Kemampuan penghasilan Envo 5 oleh MPOB dan rakan-rakan penyelidikannya, memberi petanda awal industri ini akan berkembang maju di masa hadapan. Tinggal lagi kerjasama dari rakan-rakan teknologi seperti Proton dan HICOM yang bakal menentukan nasib kesinambungan industri biofuel negara. Ini kerana banyak sekali syarikat-syarikat luar mengintai peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan agensi biodiesel negara. Lawatan kerja oleh Mitsubishi Corp ke MPOB baru-baru ini harus membuka mata syarikat automotif tempatan untuk mengambil peluang ini. Hanya kerjasama yang erat antara pemain-pemain industri akan membantu sasaran dan harapan kerajaan memajukan Malaysia sebagai negara berprestasi tinggi dan mesra alam.
MOHD IZNAN SHAMSUDDIN Penulis adalah Webmaster www.biofuel.iznan.com Penulis kini adalah pelajar tahun akhir kejuruteraan Mekanikal disalah sebuah universiti di Jerman.